BAGI ramai yang membesar dengan video masakan Khairul Aming, hari ini bukan sahaja satu nostalgia, tetapi juga detik bersejarah.
Selepas setahun menyimpan rahsia, pempengaruh dan usahawan terkenal ini akhirnya membuka tirai kepada projek terbesar dalam kariernya, restoran Rembayung.
Pengumuman menerusi Instagram miliknya itu bukan sahaja menggamit keterujaan peminat, malah turut menggegarkan dunia F&B tempatan.
Menerusi satu kenyataan rasmi di media sosial, Khairul Aming berkongsi bahawa Rembayung adalah pelaburan terbesar dalam 10 tahun perjalanan beliau dalam dunia digital dan perniagaan makanan, menelan kos RM4 juta dan dibina daripada tapak kosong seluas 8,000 kaki persegi di Kampung Baru—hanya 9 minit dari KLCC.
“Selepas setahun simpan rahsia, I’m pleased to announce restoran pertama Khairulaming,” tulisnya.
Anak jati Kelantan turut menegaskan, projek tersebut adalah komitmen serius, bukan sekadar menumpang premis sedia ada.
Bagi Khairul Aming, langkah ini merupakan fasa baharu dalam empayar perniagaannya. Dengan kejayaan produk viralnya seperti Sambal Nyet dan Dendeng Nyet, beliau melihat inilah masa terbaik untuk melangkah ke dunia fizikal.
“Selepas 10 tahun dalam dunia online, I’m finally ready untuk mulakan langkah ke dunia offline.
"Ini adalah permulaan untuk planning KA 10 tahun yang seterusnya. Selamat datang ke Rembayung," kongsinya lagi.
Walaupun konsep dalaman dan menu masih dirahsiakan, ramai percaya Rembayung bakal mencerminkan gaya masakan moden, kemas dan penuh identiti jejaka yang mesra disapa KA, cerminan personaliti dan kreativiti yang telah menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Langkah berani KA itu bukan sahaja menarik perhatian peminat, tetapi juga pemain industri F&B yang kagum dengan keberaniannya beralih daripada pencipta konten digital kepada usahawan restoran sepenuhnya.
Pengumuman Rembayung segera menjadi bualan hangat. Ramai peminat meluahkan rasa bangga dan tidak sabar untuk menyaksikan sendiri pengalaman kulinari yang dijanjikan.
Dengan ucapan simbolik 'Selamat datang ke Rembayung', projek RM4 juta ini menandakan permulaan era baharu bagi pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, bukan sekadar restoran, tetapi simbol usaha, kesungguhan dan inspirasi untuk generasi muda.
Rembayung membuktikan bahawa dengan minat, konsistensi, dan keberanian melangkah ke arah yang lebih besar, seorang usahawan boleh mencipta legasi yang mengubah impian digital menjadi realiti fizikal yang menginspirasi ramai.
Khairul Aming bukan sahaja membina restoran, tetapi juga menanam semangat bahawa kejayaan adalah hasil daripada kesungguhan dan keyakinan terhadap visi sendiri.