HAMPIR 20 tahun menjual, mencuba dunia hiburan dan menelan kritikan tanpa henti, kemenangan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman di Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) bukan sekadar trofi, sebaliknya pengiktirafan terhadap ketekunan seorang usahawan yang sering dipandang sinis.
Di sebalik kecaman dan persepsi negatif, sokongan peminat nyata menjadi kekuatan sebenar yang mengangkat namanya sehingga ke pentas anugerah popular itu.
Menepis dakwaan kononnya kemenangan tersebut diraih hasil undian sendiri, Aliff tampil tegas mempertahankan kejujurannya.
Katanya, dia tidak pernah mengundi dirinya sendiri dan menganggap kejayaan itu sebagai bukti sokongan tulen peminat yang setia mengikuti perjalanan kerjayanya, termasuk ketika dia mencuba nasib dalam dunia hiburan yang sering menjadi sasaran kecaman.
"Tiba-tiba ada Seller Terpaling Popular,” katanya sambil mengakui terkejut dengan kewujudan kategori berkenaan.
Lebih merendah diri, Aliff berkata pesaing-pesaingnya dalam kategori tersebut bukan calang-calang, malah mempunyai pengaruh besar dan jenama yang kukuh.
Namun, dengan penuh keinsafan, beliau menegaskan tidak pernah sesekali mengundi dirinya sendiri.
"Lagu saya dimainkan, walaupun ramai mengecam, masih ada yang menunggu,” luahnya jujur.
Aliff ditemui ketika malam kemuncak ABP37 yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagi usahawan sensasi itu, kemenangan berkenaan membawa makna yang cukup besar, terutama selepas hampir dua dekad membina empayar perniagaan dan berdepan pelbagai persepsi negatif masyarakat.
Mengulas perancangan selepas kemenangan tersebut, bapa kepada enam orang cahaya mata itu berkata, beliau merancang untuk mengadakan majlis doa selamat sebagai tanda kesyukuran.
Katanya, anugerah itu mungkin kelihatan biasa bagi sesetengah pihak, namun cukup bernilai buat dirinya.
"Saya dah hampir 20 tahun dalam industri menjual dan memang teringin nak dapat anugerah. Ini bukan perkara yang lucu,” ungkapnya lagi.
Walaupun sering dikecam soal suara dan penampilannya dalam bidang hiburan, Aliff menganggap kemenangan ini sebagai kenangan terindah dalam hidupnya.
Baginya, anugerah tersebut bukan soal wang atau populariti semata-mata, sebaliknya pengiktirafan terhadap usaha dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu.
"Saya teringin jadi artis, jadi bila dapat anugerah ini, rasa macam artis betul-betul,” katanya dengan nada penuh emosi.
Lebih manis, kegembiraan berganda buat suami kesayangan Datin Sri Shahida apabila anak sulungnya, Ammar Ahyan, turut diumumkan sebagai pemenang bersama dalam kategori sampingan Ekstra! Seller Terpaling Popular.
Detik itu disifatkannya sebagai satu momen bermakna yang sukar dilupakan, bukan sahaja sebagai individu tetapi juga sebagai seorang bapa.
Untuk rekod, kategori Seller Terpaling Popular menyaksikan persaingan sengit daripada beberapa nama besar termasuk Aeril Zafril dan Wawa Zainal, Alha Alfa, Anas Zahrin, Christy Ng, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, Khairul Aming, Liana Rosli, Mua Bellaz dan Nubhan.
Sumber: Astro Gempak