PASANGAN suami isteri sehidup semati. Demikian peristiwa menyentuh hati berlaku di Penaga, Pulau Pinang apabila sepasang suami isteri meninggal dunia selang beberapa jam pada hari yang sama.
Allahyarham Syed Abu bin Syed Omar menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2.00 pagi, manakala isterinya, Allahyarhamah Marina Awang pula menyusul sekitar jam 9.00 pagi pada hari yang sama.
Berita pilu itu dikongsikan laman sosial Saya Orang Penaga yang kemudian tular.
“Warga Qariah Bakar Kapor Penaga dikejutkan dengan satu peristiwa yang jarang berlaku apabila sepasang suami isteri yang tinggal di Taman Berkat meninggal dunia pada hari yang sama," kongsinya.
Difahamkan, pada awalnya hanya satu liang lahad digali bagi mengebumikan Allahyarham Syed Abu. Namun, dengan ketentuan Ilahi, satu lagi liang lahad terpaksa digali bersebelahan bagi menempatkan jenazah isterinya.
Kedua-dua jenazah difahamkan disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Bakar Kapor, Penaga.
Menurut sumber keluarga, pasangan berkenaan masing-masing menghidap kanser dan diabetes.
“Peristiwa ini benar-benar menyentuh hati masyarakat, menggambarkan ikatan sehidup semati bukan kerana janji manusia, tetapi ketentuan Ilahi. Setiap yang hidup pasti akan mati,” ujarnya.
Warga setempat dan sanak-saudara yang hadir semasa proses pengurusan jenazah turut menzahirkan rasa kagum dan terharu melihat kasih sayang sepasang suami isteri yang kekal hingga ke akhir hayat.
Peristiwa tersebut menjadi pengajaran buat semua bahawa kehidupan dan kematian adalah dalam aturan ALLAH dan setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada-NYA.
Sumber: Facebook Penang Kini, Mohd Naim Haji Salleh