Content ‘sweet’ pasangan belum nikah demi viral & untung? Ustazah Asma’ Harun tegur alasan kerja bukan tiket langgar batas

Iklan

CONTENT ‘sweet’ pasangan belum bernikah kini semakin kerap menghiasi media sosial, khususnya dalam kempen pemasaran produk.

Fenomena tersebut mengundang teguran daripada pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun, yang menegaskan, alasan kerja atau content kreatif tidak boleh dijadikan tiket untuk melanggar batas syariat.

Iklan
Iklan

Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, pendakwah itu meluahkan rasa kesal terhadap kecenderungan segelintir pempengaruh dan pemilik jenama yang sanggup menayangkan kemesraan pasangan belum berkahwin semata-mata demi menarik perhatian dan melariskan jualan.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak wajar, malah memalukan apabila ia dilakukan secara terbuka dalam masyarakat Islam. Lebih membimbangkan, alasan seperti tuntutan kerja atau strategi pemasaran sering dijadikan justifikasi, sedangkan batas pergaulan tetap perlu dijaga walau apa jua alasan diberikan.

Iklan

“Malu dan memang tak patut. Hentikanlah normalisasi pasangan belum nikah atau akan nikah, atas dasar kerja sekalipun buat content berlebihan, sweet comel ke apa.

"Netizen pun galak memuji bukan menegur, akhirnya ramai ikut tayang couple terbuka,” tegasnya.

Iklan

Tambah Asma’, situasi ini menjadi lebih serius apabila netizen turut memainkan peranan menyokong dan memuji kandungan sedemikian, sekali gus mendorong lebih ramai pihak mengikut trend yang sama tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap nilai dan adab masyarakat.

Sebagai figura awam yang mempunyai pengaruh besar, jelas Asma’, pempengaruh serta individu Muslim yang dikenali ramai seharusnya tampil sebagai contoh terbaik kepada generasi muda, bukan menjadi pencetus kepada runtuhnya batasan syariat.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila fenomena ini melibatkan pemimpin masyarakat dan individu berpengaruh yang sepatutnya menjadi teladan. Sebaliknya, tindakan mereka seolah-olah menghalalkan perkara yang sepatutnya ditegur dan dibendung.

Tak patuh syariah

Dalam peringatan yang lebih tegas, Asma’ mengaitkan isu tersebut dengan kedatangan bulan Rejab serta persiapan menuju Ramadan. Beliau bimbang kandungan yang tidak patuh syariah akan semakin berleluasa menjelang musim promosi dan iklan Raya, semata-mata untuk mengejar viral dan keuntungan.

“Sekarang dah masuk Rejab, janganlah nanti bila masuk Ramadan, makin banyak content tak patuh syariah sebab nak iklan Raya. Kepada pemilik produk atau busana, jangan kerana nak lariskan jualan, sanggup buat marketing asal viral walaupun melampaui batas syarak,” katanya.

Sehubungan itu, Asma’ menyeru semua pihak agar lebih sensitif dan bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan, khususnya apabila melibatkan hubungan lelaki dan wanita. Menurutnya, mencari rezeki tidak seharusnya mengorbankan keberkatan.

“Adakah tak mahu cari keberkatan dalam mencari rezeki? Atau asal dapat untung banyak, lepas itu bersihkan atau sedapkan hati dengan sedekah?

"Kebaikan dan keburukan tidak boleh dicampur aduk. Ini salah faham besar dan merupakan tipu daya iblis,” jelasnya.

Teguran berkenaan menjadi peringatan bahawa dalam dunia digital yang semakin pantas dan kompetitif, kreativiti tidak seharusnya mengatasi nilai.

Apa sahaja yang dipaparkan bukan sahaja mencerminkan jenama, tetapi turut membentuk norma dan pemikiran masyarakat, khususnya generasi muda yang menjadikan media sosial sebagai rujukan utama gaya hidup mereka.