DARI Malaysia ke Maghribi, langkah Datuk Dr Muhamad Fuad Kamaludin atau juga dikenali sebagai Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar meraih segulung ijazah doktor falsafah.
Ia adalah perjalanan ilmu, amanah dan pengabdian, satu kisah inspirasi yang menyentuh sisi kehidupan, kerohanian dan tanggungjawab seorang insan terhadap warisan keilmuan Islam.
Baru-baru ini, ulama, pendidik dan pendakwah terkemuka itu mencipta sejarah peribadi apabila berjaya membentangkan tesis PhD di Fakulti Sastera dan Sains Kemanusiaan, Universiti Mohammed V, Rabat, Maghribi, sebuah institusi yang menjadi tumpuan sarjana dari seluruh dunia Islam.
Lebih membanggakan, pencapaian itu hadir bersama pengiktirafan tertinggi daripada panel penilai, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas akademik antarabangsa.
Sebagai Pengerusi Kolej Islam As Sofadi Malaysia dan pemimpin Tarekat Ahmadiah Idrisiah di Asia Tenggara, beliau tampil dengan tesis bertajuk 'Imam Ahmad bin Idris al-Maghribi dan Usahanya dalam Ilmu Islam serta Penyebaran Nilai-Nilai Tasawuf, Satu Kajian Kritikal.'
Sebuah kajian yang bukan sekadar akademik, tetapi sarat dengan roh, adab dan pengalaman spiritual.
Apa yang menjadikan tesis ini istimewa ialah pendekatannya yang seimbang, menggabungkan disiplin akademik tradisional dengan penghayatan tasawuf yang mendalam. Ia menelusuri pemikiran dan pengaruh Imam Ahmad bin Idris, tokoh sufi besar dari Maghribi yang amat dikenali di Asia, namun kurang diberi perhatian di tanah kelahirannya sendiri.
Melalui kajian kritikal ini, Sheikh Muhammad Fuad seakan membuka semula pintu sejarah, memberi suara kepada warisan ilmu yang hampir terpinggir.
Sesi viva voce yang berlangsung hampir tiga jam itu berlangsung dalam suasana ilmiah yang tinggi. Dipengerusikan oleh Dekan Fakulti, Dr Zakarya Bourhim, bersama panel pakar, perbincangan menyentuh metodologi, ketepatan analisis dan keberanian intelektual pengkaji. Panel bukan sahaja memuji ketelitian kajian, malah kagum dengan kejujuran ilmiah dan amanah dalam menilai fakta kehidupan serta manhaj Imam Ahmad bin Idris.
Hasilnya, jawatankuasa penilai memberikan penghargaan tertinggi, termasuk pengiktirafan Musyarraf Jiddan serta kebenaran untuk tesis tersebut dicetak dan diterbitkan sebagai rujukan ilmiah.
Mengharumkan nama Malaysia
Malah, tesis itu turut disarankan untuk diterjemahkan ke enam bahasa utama dunia, Bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugis dan Jerman bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat antarabangsa.
Namun di sebalik kejayaan gemilang ini, rakan-rakan dan anak murid beliau melihat sesuatu yang lebih besar daripada sekadar gelaran akademik. Ia adalah hasil kesungguhan, kesabaran dan rasa tanggungjawab terhadap amanah ilmu.
Sheikh Muhammad Fuad sering diangkat sebagai contoh bahawa jalan ilmu bukan laluan singkat, tetapi memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan keberanian mempertahankan kebenaran.
Kisah ini juga menjadi cerminan buat pelajar Kolej As Sofa dan generasi muda secara keseluruhan yang mana seorang murid boleh berkembang menjadi ulama, dan seorang ulama sejati tidak pernah berhenti menjadi murid.
Ilmu bukan destinasi, tetapi perjalanan seumur hidup.
Dengan pengiktirafan ini, Sheikh Muhammad Fuad bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menghidupkan semula semangat menuntut ilmu dengan adab, disiplin dan penghayatan rohani.
Dalam dunia yang sering mengejar kejayaan pantas, kisah beliau mengingatkan kita bahawa kejayaan sebenar lahir daripada kesetiaan kepada ilmu, keikhlasan niat dan kesungguhan jiwa.