BARU-baru ini pelajar tahfiz dari Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM) Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Fikri Abdul Hisyam, 16, menjadi perhatian selepas berjaya menamatkan ujian syahadah 30 juzuk al-Quran dalam masa 18 jam tanpa sebarang kesalahan.
Memperdengarkan bacaan hafazannya itu bermula dari jam 5.30 pagi hingga 11 malam, anak ketiga daripada lima beradik berasal dari Limau Kasturi, Gua Musang itu menerima pangkat mumtaz.
Pelajar tahfiz dari Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM) Pengkalan Chepa melakukannya di hadapan enam panel terdiri daripada guru tahfiz dan hanya berehat untuk makan serta solat.
Dalam satu perkongsian, anak kepada pasangan Abdul Hisham Daud, 54, seorang guru agama dan Rohaizah Mat Naing, 49, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) itu mendedahkan niat menghafal al-Quran kerana ALLAH menguatkan ingatan kepada ayat-ayat suci itu.
"Pertama sebelum menghafal, niatkan ia kerana ALLAH. Insya-ALLAH mudahlah hafalan," kongsinya.
Dalam masa yang sama, Ahmad Fikri amat menitik beratkan penggunaan masa yang efisien dalam memantapkan hafalannya.
Berasa peruntukan masa untuk hafazan terhad dan terpaksa menyeimbangklan dengan akademik, Ahmad Fikri menyusun jadual harian sendiri.
"Tahfiz saya ini bukan sepenuhnya hafazan, ada juga akademik. Untuk bahagian tahfiz pelajar diperuntukkkan selama dua jam setengah dan saya rasa tidak cukup.
"Jadi saya buat jadual sendiri dan menambah masa dengan al-Quran," kongsinya.
Dalam temu ramah bersama stesen radio Gegar, Ahmad Fikri berkongsi tip menghafal al-Quran bagi pemula berusia matang.
"Pastikan niat kerana ALLAH, perbetulkan bacaan dan cipta rutin menghafal. Misalnya selepas solat Subuh tiga baris, Zohor tiga baris dan seterusnya.
"Setiap kali selepas solat hafal dan istiqamah," kongsinya.
Mendedahkan adik-beradiknya semua penghafal al-Quran, Fikri mendedahkan ibu bapa dan neneknya merupakan pendorong utama.
Sementara itu, Pengetua MTM, Najmuddin Abdullah berkata, apa yang dilakukan Ahmad Fikri sangat luar biasa kerana kebiasaannya seorang pelajar tahfiz akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menghabiskan syahadah 30 juzuk al-Quran.
"Kalau ikut kebiasaan pelajar akan buat 10 juzuk sehari, tapi Ahmad Fikri hanya ambil masa 18 jam dalam masa sehari.
"Perkara ini dilakukan atas permintaan dia (Ahmad Fikri) sendiri dan tiada paksaan mahupun tekanan daripada pihak sekolah," katanya.
Menurut Najmuddin, Ahmad Fikri mencipta sejarah di MTM sejak 73 tahun operasi.
Sejak aliran tahfiz diwujudkan sejak tahun 2010, tiada pelajar tamat hafazan 30 juzuk sebalknya hanya 15 juzuk.
Najmuddin memberitahu, ini kerana MTM cuma maahad biasa dan hanya mewujudkan satu kelas aliran tahfiz selepas ia dicetuskan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor juga merangkap Speaker Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.
"Jika diikutkan pada sukatan, pelajar hanya wajib menghafal tiga juzuk setahun iaitu bermula dari Tingkatan Satu hingga Lima.
"Jadi apabila tamat pengajian mereka hanya boleh habiskan 15 juzuk al-Quran, tapi Ahmad Fikri sangat luar biasa kerana dia berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk semasa di Tingkatan Tiga serta melakukan syahadah pada Tingkatan Empat," katanya.
Sumber: Sinar Harian, Instagram