BAGI kebanyakan ibu bapa, bunyi dengkuran anak kecil ketika tidur sering dianggap perkara biasa.
Penat bermain seharian, tidur lena itu logiknya. Namun bagi pelakon Eyra Hazali, tanggapan itu akhirnya bertukar menjadi detik penuh kebimbangan apabila naluri keibuannya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Eyra berkongsi pengalaman peribadi melibatkan anak keduanya, Muhammad Endra Haqimie, yang sejak kecil sering berdengkur ketika tidur.
Pada awalnya, dia menganggap ia perkara normal seperti kebanyakan ibu bapa lain. Namun lama-kelamaan, Eyra mula perasan tanda-tanda yang meresahkan apabila anaknya bukan sekadar berdengkur, malah seakan-akan berhenti bernafas seketika ketika tidur dan kerap mengalami masalah kencing malam.
“Anak tidur berdengkur tak normal ya ibu bapa sekalian,” luah Eyra jujur menerusi Threads.
Katanya, hanya selepas menyedari Endra seolah-olah ‘terhenti nafas’ ketika lena, barulah dia benar-benar sedar situasi itu tidak boleh dipandang ringan.
Naluri seorang ibu yang tidak pernah silap akhirnya membawa Eyra dan suaminya, penjaga gol bola sepak kebangsaan, Haziq Nadzli, mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT).
Keputusan pemeriksaan itu benar-benar mengejutkan yang mana kedua-dua tonsil Endra didapati membengkak pada tahap empat dan hampir menutup sepenuhnya laluan pernafasannya.
Masalah pernafasan
Lebih membimbangkan, Eyra turut berkongsi penjelasan doktor mengenai kaitan masalah pernafasan dengan kencing malam.
Menurutnya, apabila oksigen tidak sampai ke otak dengan baik, otak akan menghantar isyarat kepada badan untuk ‘bangun’, antaranya melalui refleks kencing. Ia adalah mekanisme tubuh untuk memastikan anak tersedar dan kembali bernafas dengan normal.
Perkongsian itu membuka mata ramai ibu bapa yang mungkin mengalami situasi sama, namun tidak menyedari risikonya. Eyra turut memuat naik foto tonsil Endra yang telah dikeluarkan menerusi pembedahan, satu keputusan yang pastinya bukan mudah, namun perlu demi kesihatan dan keselamatan anak tersayang.
Dalam gaya seorang ibu yang tenang tetapi tegas, Eyra tidak berniat menakutkan sesiapa. Sebaliknya, dia berharap kisah peribadinya menjadi peringatan buat ibu bapa agar lebih peka dengan perubahan kecil pada anak-anak, terutamanya ketika tidur.
Kadangkala, perkara yang kelihatan remeh itulah yang menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan yang lebih besar.
Dan sebagai ibu bapa, mendengar naluri sendiri mungkin menjadi langkah pertama untuk menyelamatkan nyawa si kecil.