PELAKON Fattah Amin menghadiahkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) buat ibu tersayang, Azizah Abdul Ghani.
Menerusi hantaran di Instagram, pemilik nama Abdul Fattah Mohd Amin, 35, yang turut diiringi bapanya, Mohd Amin Musa, memberi kejutan dengan menutup mata Azizah ketika menyampaikan hadiah berkenaan di sebuah pusat pameran kereta.
“Alhamdulillah, rezeki hari ini apabila Fattah menghadiahkan sebuah kereta baharu buat ibu tersayang.
"Daripada ibu, untuk ibu, demi ibu, harapan ibu. Segalanya untuk ibu.
“Terima kasih Fattah Amin kerana memilih kami,” kongsi wakil jualan, Sayap Niaga Sdn Bhd.
Memilih rona merah metalik untuk ratu hatinya, Azizah dilihat terharu sempat memeluk Fattah. Mereka berdua kemudian menaiki MPV itu.
Ia menawarkan ruang kabin luas untuk memuatkan tujuh hingga lapan penumpang dalam satu masa.
Warga maya terharu menyaksikan detik emosi anak-beranak itu mendoakan agar Fattah dimurahkan rezeki.
"Masya-ALLAH rezeki Fattah dikongsi bersama ibu tercinta, berkat."
"Dulu dihina dan dimalukan kerana tidak beri duit raya dan tetapi takdir ALLAH dia dapat hadiahkan syurganya sebuah MPV."
"Alhamdulillah."
Sekadar info, Fattah yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik memiliki tudung jenamanya sendiri iaitu Tudung Azizah.
Pelakon itu baharu mendirikan rumah tangga dengan penyanyi terkenal Amira Othman pada 14 September 2025.