Anuar Faizal angkat fesyen sebagai bahasa budaya Malaysia menjelang TMM26

Iklan

DI sebalik setiap helaian fabrik, ada cerita yang mahu disampaikan. Fesyen hari ini bukan lagi sekadar soal potongan atau warna, sebaliknya menjadi medium ekspresi gaya hidup, identiti dan aspirasi sesebuah bangsa.

Inilah falsafah yang terus dipegang jenama Anuar Faizal, apabila ia mengorak langkah strategik dengan visi besar menjelang 2026, meletakkan fesyen sebagai bahasa budaya Malaysia di pentas antarabangsa, seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26).

Iklan
Iklan

Bagi Anuar Faizal, tahun 2026 bukan sekadar sasaran masa, tetapi fasa penting untuk mengukuhkan jenamanya sebagai platform kreatif yang meraikan identiti, warisan dan masa depan fesyen serantau. Selari dengan penglibatan aktifnya bersama Malaysia International Digital Fashion Week (MIDFW), beliau melihat fesyen sebagai ekosistem yang menyatukan seni, budaya, pendidikan dan komuniti.

Iklan

“Visi saya adalah menjadikan Anuar Faizal sebagai suara fesyen Asia Tenggara yang berani, relevan dan berakar pada naratif tempatan, tetapi bersifat universal serta mampu diterima di pelbagai pasaran dunia,” katanya.

Menurut beliau, misi utama menuju 2026 adalah memperkasakan pereka dan bakat tempatan agar lebih berdaya saing di peringkat global.

Iklan

Dalam masa sama, membuka lebih banyak ruang kolaborasi rentas negara yang mampu memperluas jaringan, pendedahan dan kematangan industri fesyen Malaysia secara menyeluruh.

Bagi merealisasikan misi itu, Anuar Faizal merancang untuk memperhebatkan penyertaan antarabangsa menerusi kolaborasi strategik serta penglibatan dalam inisiatif fesyen berteraskan budaya dan komuniti.

Antara fokus utama ialah penganjuran persembahan fesyen berkonsepkan pengalaman atau immersive showcases, yang mana fesyen diraikan bersama elemen visual, bunyi, ruang dan penceritaan.

Pendekatan ini selari dengan landskap fesyen global yang semakin menghargai pengalaman menyeluruh, bukan hanya koleksi di atas pentas. Fesyen, baginya perlu dirasai dan difahami sebagai satu perjalanan emosi dan budaya.

Dalam masa sama, promosi jenama Royal Sembilan akan terus diperkasakan sebagai tunjang penting dalam mengetengahkan kehalusan fabrik, kraf serta nilai warisan tempatan yang menjadi identiti tersendiri pereka ini. Ia bukan sekadar koleksi, tetapi manifestasi hubungan antara tradisi dan gaya hidup moden.

HALA  TUJU  REKAAN

Mengulas hala tuju rekaan untuk tahun hadapan, Anuar Faizal menegaskan pendekatan tidak lagi tertumpu semata-mata kepada siluet atau fabrik. Sebaliknya, fokus diberikan kepada bagaimana cerita budaya diterjemahkan ke dalam rekaan kontemporari yang segar dan relevan dengan generasi hari ini.

“Penggunaan struktur, tekstur dan perincian simbolik yang lebih berani, digabungkan dengan sentuhan kraf tempatan yang diberi nafas baharu tanpa menghilangkan nilai asalnya,” jelasnya.

Pendekatan ini menjadikan setiap rekaan bukan hanya cantik dipandang, tetapi sarat makna, sesuai dengan gaya hidup moden yang semakin menghargai keaslian, kelestarian dan cerita di sebalik sesuatu produk.

Dalam konteks TMM26, Anuar Faizal melihat fesyen sebagai medium diplomasi budaya yang sangat berkuasa. Melalui rekaan dan persembahan visual, kisah Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, kehalusan seni dan kreativiti masyarakat dapat disampaikan kepada dunia secara halus, tetapi berimpak tinggi.

“Fesyen boleh menjadi ‘duta visual’ negara. Ia mampu mempromosikan Malaysia bukan hanya sebagai destinasi pelancongan, tetapi sebagai hab kreatif yang sarat dengan identiti dan cerita,” katanya.

Beliau turut merancang menterjemahkan semangat TMM26 menerusi persembahan fesyen berkonsepkan destinasi, kolaborasi bersama penggiat seni dan pelancongan, serta penghasilan koleksi yang diinspirasikan oleh negeri, komuniti dan warisan tempatan.

Setiap koleksi diharap dapat menjadi ‘jemputan visual’ untuk dunia mengenali Malaysia dengan cara yang lebih intim dan bergaya.

Perancangan besar ini tidak datang tanpa asas kukuh. Rekod pencapaian Anuar Faizal sepanjang 2025 menjadi bukti konsistensi dan pengaruhnya di pentas serantau dan antarabangsa.

Duta  fesyen  Malaysia

Bermula Februari, beliau terlibat dalam CIMB Raya dan Intermark Raya bersama Keluarga Diraja Negeri Sembilan, sebelum melangkah ke pentas Brunei pada Mac di International Convention Centre Brunei bersama Pengiran Anak Puteri Amal Rakiah Bolkiah.

Pengaruhnya terus melebar ke Bali pada April bersama Gabenor Bali, diikuti penganjuran MYFW pada Mei di Kuala Lumpur di bawah MIDFW.

Acara itu menghimpunkan 16 pereka tempatan dan antarabangsa dari Brazil, Filipina, Indonesia, Kyrgyzstan, Itali dan Malaysia, sekali gus mencipta inisiatif pertama yang mengumpulkan pereka serantau dalam satu platform.

Momentum antarabangsa diteruskan dengan penyertaan di TFW Bangkok, TKLMFW Kuala Lumpur, KLmePSA bersama Raja Muda Perlis, Bali Discovery Mall serta Bali International Fashion Festival. Kemuncak 2025 menyaksikan Anuar Faizal menerajui Batik Lestari KL anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, diikuti rangka lawatan ASEAN ke Manila dan Kemboja dengan sokongan Kedutaan Besar Malaysia serta Grab Cambodia.

Tirai 2025 ditutup dengan penyertaan di Indonesia Fashion Runway, Jakarta atas jemputan Kementerian Ekonomi Kreatif Indonesia, satu pengiktirafan penting terhadap peranannya di peringkat serantau.

Keseluruhan perjalanan ini mengukuhkan kedudukan Anuar Faizal sebagai duta fesyen Malaysia di mata dunia, sekali gus meletakkan jenama itu di landasan tepat untuk menyumbang secara signifikan kepada naratif budaya dan promosi negara menjelang TMM26 dengan fesyen sebagai gaya hidup, bahasa budaya dan identiti bangsa.