HER, The Series: Fesyen yang bercerita tentang wanita & kehidupan

Iklan

BUKAN sekadar potongan cantik atau warna yang menarik perhatian, tetapi rasa dan cerita di sebalik apa yang digayakan. 

Dari situlah lahirnya HER, The Series, sebuah jenama fesyen tempatan yang memilih untuk bergerak secara perlahan, jujur dan bererti, menjadikan fesyen sebagai ruang untuk bercerita.

Iklan
Iklan

Diasaskan oleh pelakon dan pengarah kreatif Nelissa Nizam bersama pereka fesyen Sodiqin Shaz, HER, The Series hadir dengan pendekatan yang berbeza. 

Setiap koleksi dibina seperti sebuah siri, dengan setiap ‘episod’ membawa kisah wanita yang berbeza. 

Iklan

Episod pertama bertajuk Every Girl is an Actress menampilkan Nelissa sendiri sebagai muse, mengangkat realiti wanita moden yang sering memegang pelbagai peranan dalam kehidupan seharian, sama ada di rumah, di tempat kerja mahupun dalam ruang emosi peribadi.

Apa yang menarik, jenama ini tidak melihat muse sebagai sekadar wajah untuk digayakan di pentas peragaan. Sebaliknya, muse diberi ruang untuk menjadi diri sendiri dan menyuarakan cerita mereka melalui fesyen. 

Iklan

Setiap helaian dihasilkan dengan niat untuk menyampaikan rasa, menjadikan pengalaman menggayakannya lebih peribadi dan dekat dengan kehidupan sebenar wanita.

Melalui pendekatan ini, HER, The Series secara tidak langsung mengajak wanita untuk menerima diri dalam pelbagai versi. Tidak perlu terikat dengan satu label atau peranan semata-mata. Wanita boleh menjadi kuat dan lembut, serius dan santai, berani dan sensitif,  semuanya wujud dalam satu perjalanan hidup yang sama, dan semuanya wajar diraikan.

Gabungan warisan sentuhan moden

Bagi Sodiqin Shaz, projek tersebut membuka ruang untuk dirinya bereksperimen di luar kebiasaan. 

Dikenali dengan gaya potongan kemas dan siluet bersih, kali ini beliau memilih pendekatan yang lebih bebas dan beremosi, seiring dengan cerita yang ingin disampaikan oleh setiap muse. 

Ia bukan tentang mengubah identiti, tetapi memberi ruang untuk berkembang dan mencuba sesuatu yang lebih jujur.

Menariknya, sebelum diperkenalkan secara rasmi di Malaysia, HER, The Series terlebih dahulu melangkah ke pentas antarabangsa menerusi Bali Fashion Trend 2025 yang berlangsung pada Disember lalu. 

Dipersembahkan bersama lebih 90 pereka antarabangsa di bawah tema Beyond Beauty, acara ini meraikan fesyen lestari, penceritaan budaya serta gabungan warisan dan sentuhan moden.

Di tengah-tengah pelbagai gaya, tekstur semula jadi dan palet warna bumi yang mendominasi pentas peragaan, HER, The Series tampil dengan pendekatan penceritaannya yang tenang dan tidak berlebihan. 

Ia tidak cuba menjadi yang paling menonjol, sebaliknya memilih untuk menjadi jujur dan bererti.

Akhirnya, HER, The Series bukan sekadar tentang pakaian, tetapi tentang pengalaman, suara dan identiti wanita. Ia mengingatkan bahawa fesyen boleh menjadi sesuatu yang lebih dekat dengan diri, apabila apa yang digayakan selari dengan siapa kita sebenarnya. Dan mungkin, di situlah letaknya keindahan sebenar fesyen hari ini.