SELEPAS namanya terus menjadi sasaran kecaman di media sosial, personaliti media sosial Chazynash tampil menjelaskan kedudukan sebenar berhubung dakwaan kononnya dia gagal menunaikan tanggungjawab sebagai bapa selepas berpisah dengan bekas isterinya, Fatin Morat.
Menerusi satu hantaran panjang di Instagram, anak kelahiran Perlis itu mendedahkan, keputusannya bersuara dibuat selepas lama memilih untuk berdiam diri, namun mendakwa sikap itu disalah tafsir sehingga mengundang pelbagai tohmahan terhadap dirinya.
"Malangnya, semakin saya diam, semakin menjadi jadi tohmahan yang dilemparkan terhadap saya daripada netizen semua, kononnya saya gagal menunaikan nafkah dan mengabaikan tanggungjawab.
"Ini first and last saya akan bersuara, sebab saya tak suka drama dan tak ada masa nak layan netizen yang tak bijak," ungkapnya dengan nada tegas.
Dalam hantaran tersebut, bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, jumlah keseluruhan nafkah dan perbelanjaan anak-anak yang ditanggung setiap bulan adalah RM8,200.
"la merangkumi tempat tinggal, kereta, pendidikan, makan minum, barang dapur, insurans, internet, bil elektrik, bil air, water dispenser dan upah driver menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah.
"Selain itu, saya juga telah memberikan duit mutaah sebanyak RM100k kepada bekas isteri sebagai hadiah, tanggungjawab dan ihsan," tulisnya.
Dalam hantaran sama, lelaki berusia 37 tahun itu turut menolak dakwaan kononnya bekas isterinya hidup dalam keadaan serba kekurangan, selain menegaskan segala keperluan anak-anak masih berada di bawah tanggungannya.
Sebagai rekod, Chazynash sebelum ini memaklumkan bahawa perkahwinannya dengan Fatin Morat berakhir pada 23 Januari tahun lalu.
Jelasnya, keputusan untuk berpisah dibuat secara bersama dan dia memilih untuk tampil bersuara kali ini hanya bagi menjernihkan keadaan selepas namanya terus dikaitkan dengan pelbagai dakwaan di media sosial.