Diuji kanser, 7 kitaran IVF, penantian 11 tahun Juliana berakhir - 'Masa dengar heartbeat, kami dan doktor menitiskan air mata'

Iklan

SETIAP pasangan yang menantikan cahaya mata pasti tahu, perjalanan itu bukan sekadar menunggu. 

Ia penuh berliku, ujian, rawatan berpanjangan, malah kadang-kadang diserikan dengan cabaran kesihatan yang mengancam nyawa, sebelum akhirnya tersenyum melihat si kecil di pangkuan. 

Iklan
Iklan

“Kami sudah bertahun-tahun mencuba, tetapi masih belum berjaya." Itu antara luahan ramai pasangan yang menempuh perjalanan IVF.

Baru-baru ini, SinarPlus berkesempatan menemu bual bekas pesakit kanser, Juliana Razid yang memulakan kehidupan berumah tangga dengan impian sederhana, yakni menimang cahaya mata. 

Iklan

Kanser, kemoterapi, polip berulang dan tujuh kitaran IVF menjadi sebahagian daripada cabaran yang dilaluinya sebelum akhirnya bergelar ibu. 

Iklan

Kanser payudara jarang ditemui

Namun, pada Disember 2016, segalanya berubah apabila dia mengesan ketulan di payudara kanannya sebelum disahkan menghidap penyakit mucinous carcinoma, sejenis kanser payudara jarang ditemui yang hanya melibatkan satu hingga dua peratus kes.

Sekalipun disahkan menghidap kanser, Juliana tidak berputus asa untuk membina keluarga dan memiliki zuriat.  

“Ketika itu usia saya baru 34 tahun dan tiada sejarah keluarga yang menghidap kanser. 

"Bila orang tanya kenapa saya kena, saya terima ini sebagai ujian yang ALLAH beri,” ujarnya ketika mengimbau kisah lalu.

Tanpa membuang masa, Juliana mengambil cuti sakit dan menjalani pembedahan di Institut Kanser Negara (IKN) pada Januari 2017. 

Doktor memaklumkan rawatan kemoterapi boleh dielakkan kerana sel kanser sudah dibuang, tetapi dia memilih untuk meneruskan enam sesi kemoterapi yang dicadangkan oleh pakar Onkologi sebagai langkah berjaga-jaga dan selesai rawatan pada Julai 2017.

Selepas rawatan, Juliana dan suaminya, Fariq Azwar Salehuddin, 44, tetap berharap untuk menimang cahaya mata. 

Pemeriksaan susulan termasuk imbasan CT menunjukkan keputusan baik, membolehkan mereka meneruskan rawatan kesuburan. Seterusnya, Juliana dan suami dirujuk kepada pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Hospital Putrajaya bagi sesi konsultasi.

"Selagi belum berlaku, kita tak boleh jangka, jadi saya cuma berdoa mudah-mudahan tak jadi,” jelas wanita tabah itu.

Pasangan itu memulakan empat kitaran rawatan IUI di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke HCTM untuk IVF pada Mei 2020 di bawah seliaan Pakar Obstetrik & Ginekologi serta Perubatan Reproduktif dan Onkofertiliti, Profesor Madya Dr Mohd Faizal Ahmad.

Percubaan IVF pertama pada Ogos 2020 menghasilkan kehamilan awal yang tidak berkembang, diikuti beberapa kitaran rawatan lain yang terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan. Bahkan, ada folikel yang dikutip kosong tanpa kehadiran ovum.

Juliana juga menjalani dua pembedahan membuang polip kerana ia boleh mengganggu penempelan embrio. 

Setiap kali rawatan gagal, persoalan timbul dalam dirinya: apa lagi yang kurang? 

Pada masa sama, dia turut mendapatkan pandangan daripada beberapa pusat rawatan lain kerana masalahnya agak kompleks namun akhirnya memilih meneruskan rawatan di bawah pemantauan juga kerana Juliana dan suami meyakini kemampuan dan kepakaran Dr Mohd Faizal Ahmad.

"Kami akan terus cuba sehingga doktor kata mudarat dah melebihi manfaat, maka ketika itu kami akan berhenti berusaha.”

Selepas melalui tujuh kitaran IVF, Juliana akhirnya disahkan hamil pada November 2024.

Degupan jantung bayi  yang didengari buat pertama kali pada 17 Disember 2024, membawa kegembiraan luar biasa kepada Juliana dan suami. 

"Doktor pun minta kami tengok perkembangan setiap dua minggu, seterusnya, dua minggu lagi sehinggalah kandungan mencapai usia 36 minggu, baru boleh menarik nafas lega. Alhamdulillah,” kongsinya. 

Sepanjang kehamilan, keadaan kesihatan Juliana dipantau rapi, termasuk isu penurunan berat badan dan keperluan pengambilan suplemen tambahan seperti intralipid. 

Walaupun pernah dinasihatkan supaya membuat ujian genetik lanjut disebabkan risiko hamil pada usia 43 tahun, Juliana dan suami memilih untuk tidak melakukannya kerana mahu mengekalkan rasa keterujaan menanti cahaya mata dan reda menerima walau apapun jua keadaan bayi mereka kelak. 

“Saya tak nak rosakkan (joykiller) rasa gembira awal-awal. Apa pun keadaannya (anak), saya terima,” kata Juliana.

 Bayi mereka, Emma Emily Fariq Azwar, selamat dilahirkan pada 24 Julai 2025 ketika kandungan berusia 37 minggu lima hari melalui pembedahan elektif. 

Juliana menganggap perjalanan itu sebagai gabungan usaha, kesabaran dan doa tanpa henti. 

“Tujuh kali IVF, lahir 24/7. Kami selalu cakap, kami tunggu dan berdoa untuk awak 24/7,” kata wanita tabah itu dengan mata berair.

Juliana turut menitipkan pesanan buat pasangan suami isteri akan kepentingan pemeriksaan awal, rawatan doktor dan kesabaran kepada pasangan yang sedang berjuang mendapatkan zuriat. 

“Kalau rasa nak anak, selepas enam bulan berkahwin pun pasangan sudah boleh buat pemeriksaan kesihatan. 

"Semua rawatan hanyalah usaha manusia, keputusan akhir tetap milik Tuhan,” tambahnya.

Bekukan telur

Sementara itu, Dr Mohd Faizal menekankan kepentingan onkofertiliti untuk pesakit kanser. 

“Onkofertiliti bermaksud pemeliharaan kesuburan sebelum rawatan kanser, seperti kemoterapi atau radioterapi. 

"Jika dirujuk awal, kita boleh bekukan telur atau embrio ketika kualitinya masih baik,” jelas beliau. 

Dalam kes Juliana yang merupakan pesakitnya, rawatan kanser telah selesai sebelum dirujuk kepada unit onkofertiliti, menjadikan rawatan lebih kompleks. 

Dr Mohd Faizal turut berkongsi pengalaman mendalam tentang cabaran setiap kitaran IVF.

“Ovari beliau sudah terdedah kepada kemoterapi, jadi kualiti telur semakin menurun. Ini cabaran besar dalam rawatan. Kitaran kelima, ada folikel tapi tak ada telur. 

"Masa tu saya hampir berputus asa. Tapi Juliana dan suami kata, selagi ada daya, mereka mahu teruskan. Kitaran ketujuh pula menjadi peluang terakhir. Rangsangan ovari mengambil masa luar biasa panjang, sehingga hari ke-32 sebelum OPU. 

"Biasanya kita buat OPU sekitar hari ke-14 atau ke-15. Kali ini sangat lambat, tapi akhirnya satu embrio berjaya dibekukan,” katanya.

Berkongsi lanjut, pakar itu menekankan kepentingan komunikasi antara pakar kesuburan, doktor kanser, dan pesakit. 

“Kadang-kadang pesakit sudah jalani rawatan kanser sebelum dirujuk kepada kami. Jika dirujuk lebih awal, embrio masih berkualiti dan peluang kejayaan lebih tinggi. 

"Kita sebagai pakar perlu pastikan pesakit faham risiko, prosedur dan peluang setiap rawatan, terutama bagi kes kompleks seperti pesakit hormon-positif," ujarnya lagi

Bahkan kata pakar itu lagi, rawatan kesuburan adalah gabungan strategi perubatan, pemantauan rapi dan kesabaran. 

“Setiap keputusan IVF, termasuk protokol rangsangan ovari, pemindahan embrio, atau pemilihan embrio beku, dibuat berdasarkan analisis saintifik dan keadaan pesakit. 

"Tiada jalan pintas, tetapi kita optimakan peluang setiap pesakit dengan cara berbeza," kongsinya.

Dalam pada itu, penulis baru-baru ini dijemput menyertai Hari Bersama Media anjuran Jabatan Komunikasi Korporat dan Pusat Reproduktif Termaju (ARC) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM. 

Majlis yang bertemakan “Penantian demi Kebahagiaan: Menghayati Liku Perjalanan IVF” menyaksikan kehadiran beberapa pakar kesuburan serta pesakit yang berkongsi pengalaman mereka, memberikan gambaran sebenar tentang cabaran, harapan dan keajaiban di sebalik proses IVF.

Rawatan kesuburan

Menurut Ketua Pusat Reproduktif Termaju, Profesor Madya Dr Abdul Kadir Abdul Karim, sikap masyarakat terhadap rawatan kesuburan telah berubah dengan ketara sejak lebih 10 tahun lalu. 

“Kalau lebih 10 tahun lepas, kebanyakan pesakit yang datang dahulu ialah wanita. Lelaki biasanya pasif, susah nak datang. 

"Pun begitu, dalam 10 tahun kebelakangan ini, kami lihat pasangan lelaki semakin terbuka,” katanya. 

Beliau menekankan, persepsi lama yang meletakkan kesalahan pada wanita kini sudah tidak relevan. Berdasarkan analisis pusat mereka, sekitar 75–80 peratus kes melibatkan faktor lelaki, sama ada secara tunggal atau bersama faktor wanita. 

“Dulu memang ada kecenderungan untuk salahkan wanita sahaja. 

"Sekarang kita tahu faktor lelaki juga besar. Jadi rawatan perlu menyeluruh, bukan sebelah pihak sahaja," jelasnya lagi.

Dr Abdul Kadir turut menjelaskan, analisis sperma adalah langkah pertama yang sangat penting. 

“Apa-apa keputusan yang tidak mencapai piawaian normal WHO kita kategorikan sebagai male factor.

"Bagi kes ringan, rawatan boleh disesuaikan dengan perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, kurangkan berat badan, elakkan pakaian ketat, atau ambil suplemen. 

"Analisis akan diulang untuk menilai sebarang peningkatan. Namun bagi kes serius, contohnya bilangan sperma keseluruhan kurang daripada lima juta, rawatan IVF lebih sesuai berbanding IUI, kerana peluang berjaya secara IUI menjadi sangat rendah," kongsinya lagi.

Beliau turut menambah, dalam sesetengah kes, rawatan tambahan perlu dilakukan pada lelaki kerana sperma tidak boleh dihasilkan secara semula jadi akibat masalah kesihatan. 

“Rawatan kesuburan bukan satu kaedah untuk semua. Setiap pasangan memerlukan pelan rawatan berbeza mengikut keadaan, usia dan tempoh mencuba,” tambah beliau.