PELAWAK bernama Wahid ini bukan sekadar anak seni, dia ayah yang gigih, mencari rezeki demi memastikan anak-anak dibesarkan dengan penuh peluang dan harapan.
Baru-baru ini, SinarPlus ada berkongsikan kisah yang menyentuh hati dia hadir ke majlis graduasi anaknya hingga meraih perhatian ramai.
Namun di sebalik detik membanggakan itu, ramai tertanya-tanya, mengapa anggota Kumpulan Senario yang kini sudah memasuki usia 50 tahun itu jarang sekali berkongsi kisah keluarga di media sosial?
Jawapannya mungkin tidak sensasi, tetapi cukup dalam maknanya. Bukan kerana malu, bukan juga kerana tidak bangga.
Sebaliknya, pemilik nama sebenar, Abdul Wahid Mohamad memilih satu jalan yang jarang diambil dalam dunia serba terbuka hari ini, jalan untuk melindungi.
Sebagai seorang bapa, dia sedar populariti bukan sekadar membawa tepukan dan pujian.
Ia juga hadir bersama risiko, sindiran dan tekanan yang mungkin tidak disedari orang dewasa, tetapi mampu memberi kesan besar kepada emosi anak-anak.
Sejak mereka kecil Wahid sudah berusaha memastikan anak-anak membesar tanpa beban nama, tanpa tempias populariti, dan tanpa perlu berdepan perli atau pandangan serong orang luar.
Baginya, peranan seorang ayah bukan sekadar menyediakan nafkah, tetapi memastikan anak-anak membesar dalam keadaan selesa dan tenang.
Media sosial, kata Wahid, bukan pentas untuk berbangga dengan kejayaan anak-anak.
Apatah lagi apabila kejayaan itu baru bermula, seperti anak-anaknya yang menamatkan pengajian peringkat diploma pada tahun 2025.
“Anak saya pun baru diploma. Dua-dua anak saya habis belajar ambil diploma.
"Sebelum ni memang saya tutup mereka, tak nak bagi ruang ke depan,” katanya, mengakui keputusan itu dibuat sejak awal demi menjaga emosi anak-anak.
Anak jati Ipoh, Perak itu juga tidak mahu kejayaan anak-anak disalah tafsir sebagai hasil ‘menumpang’ nama seorang bapa yang dikenali.
Biar kejayaan itu milik mereka sepenuhnya. Biar mereka bebas membina jalan sendiri, seperti anak-anak lain yang membesar tanpa sorotan kamera.
Namun sebagai bapa, kebimbangan tetap ada. Pelakon berkenaan tidak menafikan adanya perasaan takut jika anak-anak diperli, takut mereka tertekan, takut kata-kata orang luar melukakan hati yang masih rapuh.
Dari bangku sekolah rendah hingga menengah, prinsip itu kekal dipegang. Dia yang ke depan, anak-anak kekal di belakang tabir.
“Saya tak nak sebabkan saya, mereka tertekan. Kena perli, kena kata macam-macam. Itu yang saya takut sejak mereka kecil lagi,” katanya.
Perjalanan pendidikan anak-anak juga bukan tanpa cabaran. Wahid mengakui, ketika anak menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajian, dia pernah menentang.
"Waktu itu bukan kerana tidak menyokong, tetapi saya tak mampu sangat, serius cakap, memang tak mampu. Namun, kuasa ALLAH tak siapa boleh menafikan.
"Di sini juga saya belajar satu perkara besar tentang kehidupan, rezeki anak sudah tertulis," ungkapnya sebak.
Kejaiban ALLAH
Detik yang paling mengesankan buatnya adalah apabila hari pertama anak melangkah masuk ke alam pengajian tinggi bertembung dengan hari pertama dia kembali ke udara sebagai penyampai radio di Perak FM.
Satu kebetulan yang cukup manis, seolah-olah Tuhan menjawab kebimbangannya dengan cara yang tidak disangka.
“Hari anak saya masuk belajar, hari itu juga saya dapat panggilan bersiaran. Saya rasa itu keajaiban yang ALLAH tunjukkan.
"Jangan takut dengan kehidupan. Yang penting, kita sabar, reda dan syukur,” katanya.
Sebelum melabuhkan perbualan tentang kehidupannya, penulis sempat bertanyakan mengenai azam sempena tahun 2006.
“Kalau boleh, saya nak jaga kesihatan saya dengan baik. Supaya saya dapat bekerja, menjalankan amanah yang orang berikan kepada saya.
"Nak bagi isteri, anak-anak, mak mentua dan orang terdekat saya bergembira dengan saya,” luahnya jujur.
Di sebalik jenaka yang sering mengundang tawa, Wahid menyimpan prinsip hidup yang sederhana tetapi kuat, percaya pada ketentuan Tuhan, berusaha seadanya, dan melindungi apa yang paling berharga dalam hidupnya.
Dalam dunia yang berlumba-lumba berkongsi segalanya, Wahid Senario memilih untuk menyimpan kisah keluarganya sebagai amanah peribadi. Kerana baginya, privasi bukan kekurangan, tetapi hadiah terindah seorang ayah kepada anak-anaknya — ruang untuk hidup bebas, tanpa tekanan, dan dengan harapan yang tulus.