PEMPENGARUH media sosial, Chazynash mencuri perhatian ramai apabila tampil mengeluarkan kenyataan terbuka meluahkan keletihan emosi akibat dakwaan fitnah dan gangguan berpanjangan yang dikaitkan dengan bekas isterinya sejak beberapa bulan lalu.
Dakwa Chazynash atau nama penuhnya Syed Fernarsh Syed Badlishah, sejak Mei lalu, pelbagai akaun palsu didakwa diwujudkan bagi menyebarkan tuduhan tidak benar termasuk isu kecurangan, sekali gus menjejaskan reputasi, hubungan peribadi serta kesihatan mental dirinya dan bakal isteri.
“Setiap kali bekas isteri buat siaran langsung dan menunjukkan seolah-olah hidup susah, saya pula dihukum tanpa mengetahui cerita sebenar,” katanya yang turut menafikan tuduhan culas nafkah terhadap anak-anak.
Katanya, dia telah menyediakan nafkah, kemudahan tempat tinggal, kereta berserta kos penyelenggaraan dan pemberian mutaah, namun perkara itu didakwa sering diputar belit sehingga mengundang kecaman netizen.
Lebih mengecewakan, Chazynash mendakwa dirinya didoakan perkara buruk ketika bekas isteri bersiaran langsung di media sosial.
Susulan itu, pempengaruh berusia 37 tahun itu memaklumkan menarik semula pemberian mutaah, rumah dan kereta kepada bekas isteri.
"Dengan rasa berat hati, saya terpaksa menarik semula pemberian mutaah, rumah dan kereta yang sebelum ini telah saya berikan.
"Dia tidak lagi layak menerima semua itu daripada saya. Perjanjian asal adalah untuk menyelesaikan segala perkara secara baik dan tanpa mengganggu kehidupan saya, namun perjanjian tersebut telah dilanggar," kongsinya.
Dalam masa sama, Chazynash menegaskan segala urusan berkaitan harta dan hak penjagaan anak mereka akan diselesaikan melalui saluran mahkamah.
"Dalam masa terdekat, saya akan meminta dia keluar dari rumah tersebut dan tinggal di rumah adiknya, seperti mana dikatakan dia tahu tanggungjawab sebagai seorang adik atau adik beradik selepas kakak sudah bercerai.
"Oleh itu, segala urusan berkaitan harta serta hak penjagaan anak-anak akan diselesaikan sepenuhnya melalui mahkamah. Saya akan mempertahankan hak saya sebagai seorang bapa.
"Sekali lagi, kepada semua yang membaca kenyataan ini, saya memohon maaf kepada semua atas kekecohan ini. Percayalah, saya telah bersabar terlalu lama, sudah muak dengan permainan ini. Saya manusia biasa, bukan sempurna. Saya tak mampu ikut jejak Chef Wan. Sekian," titipnya.
Chazynash terdahulu mendedahkan telah bercerai dengan bekas isteri pada 23 Januari tahun lalu menerusi satu hantaran di Instagram.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu bertunang dengan wanita pilihan hatinya pada Disember lalu.
Sumber: Instagram