HASRAT Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek untuk menyelesaikan tuntutan harta sepencarian secara damai tidak tercapai apabila bekas suaminya, penyanyi Ahmad Nubhan Ahmad, tidak hadir pada proses sulh di Pejabat Sulh, Mahkamah Syariah Seremban pada Khamis.
Mesra disapa Dr Fie, wanita berusia 36 itu mengakui terkejut dengan ketidakhadiran bekas suaminya memandangkan proses sulh itu sepatutnya menjadi jalan terbaik demi kebajikan anak-anak.
“Saya harap dia boleh beri kerjasama sebab semua ini untuk anak-anak. Tambahan pula, sekolah akan dibuka tidak lama lagi.
“Sebelum ini dia ada menyatakan di media sosial mahu menyewakan rumah lain untuk kami, tetapi sehingga kini saya masih belum menerima sebarang maklum balas. Saya harap dia memudahkan urusan ini,” katanya.
Menurut Dr Fie, dia tidak mahu kemelut yang berlaku antara mereka memberi kesan kepada emosi dan keperluan anak-anak, lebih-lebih lagi apabila sesi persekolahan semakin hampir.
Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata sebagai bekas isteri, dia dan anak-anak berhak mendapatkan tempat tinggal yang selesa.
“Kenapa perkara ini berlaku ketika sekolah nak dibuka tidak lama lagi?
“Anak-anak nak ke sekolah, kami tiada tempat tinggal. Buku sekolah bagaimana?
"Semua maklumat sudah saya hantar kepada dia, tetapi langsung tiada respons,” luahnya.
Tambah Dr Fie, dia berharap Nubhan dapat meletakkan kepentingan anak-anak sebagai keutamaan.
Malah, dia turut memaklumkan pernah cuba menghubungi penyanyi itu termasuk melalui peguam susulan insiden barangan miliknya dikeluarkan dari rumah mereka sebelum ini, namun usaha tersebut tidak mendapat sebarang maklum balas.
Proses Sulh
Dalam pada itu, doktor gigi itu mendedahkan kehidupannya kini agak tidak terurus apabila terpaksa menumpang di rumah keluarga selain berdepan kekangan ruang untuk menyimpan barangan peribadi.
“Rumah ibu saya juga sudah ada ahli keluarga lain yang tinggal. Jadi, saya tidak boleh menyimpan semua barang di situ dan terpaksa membiarkannya di dalam kotak kerana tiada tempat lain.
“Sebab itu saya menunggu rumah lain yang dijanjikan dan berharap dia dapat memberi kerjasama untuk hadir pada proses sulh akan datang,” katanya.
Ditanya mengenai wang dan barangan kemas yang didakwa hilang di rumah yang didiami mereka sebelum ini, Dr Fie berkata sehingga kini ia masih belum ditemui, namun enggan mendedahkan nilainya.
Sementara itu, peguam Dr Fie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff memaklumkan pihaknya hanya mengetahui ketidakhadiran Nubhan sebaik tiba di mahkamah.
“Proses sulh sepatutnya dihadiri kedua-dua pihak kerana itulah pendekatan terbaik yang dianjurkan Islam untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.
“Namun, kegagalan defendan untuk hadir menyebabkan matlamat sulh tidak dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.
Terdahulu, Dr Fie hadir ke mahkamah kira-kira jam 11 pagi ditemani ibu bapanya sebelum memasuki kamar Unit Sulh bersama peguamnya dan dilihat keluar hampir sejam kemudian.
Puteri Ummi Kartini turut memaklumkan pihaknya akan meneruskan proses serahan saman tuntutan harta sepencarian kepada defendan.
“Sama ada peguam atau defendan sendiri perlu hadir untuk memasukkan pembelaan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban. Mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan pada 3 Februari depan, jam 10 pagi.
“Sekiranya defendan tidak dapat hadir, sepatutnya peguam syarie yang mewakili hadir kerana kami tidak menerima sebarang notis ketidakhadiran walaupun serahan notis sulh telah dibuat,” jelasnya.