PENYANYI dan pelakon Abby Abadi kini sedang bercuti bersama anak-anaknya ke Sapporo, Jepun.
Apa yang mencuri perhatian ramai apabila percutian tersebut turut melibatkan bekas suaminya, Norman Hakim dan keluarga.
Disebalik kemeriahan keluarga besar itu menghabiskan masa bersama, netizen tertarik dengan hantaran yang dimuat naik Abby yang secara terbuka menitipkan ucapan ulang tahun kelahiran buat Norman sambil merakamkan penghargaan atas kesudian menaja tiket percutian anak-anak mereka.
“Selamat hari lahir Oman (panggilan Norman). Terima kasih belanja tiket untuk anak-anak besar (anak bersama Abby) kali ini.
"Besar tanggungjawab, besar belanja bila anak-anak ramai ni ya,” tulis Abby dalam kapsyennya menerusi laman Threads.
Dalam nada berseloroh tetapi penuh makna itu, Abby turut mendoakan agar Norman terus kuat dan bersemangat, bukan sekadar dalam urusan dunia, tetapi demi kebahagiaan anak-anak yang menjadi keutamaan mereka berdua.
Percutian itu katanya bukan sekadar destinasi indah, tetapi momen untuk berkumpul dan mencipta memori bersama anak-anak yang semakin dewasa.
Pelakon yang terkenal menerusi drama bersiri Gerak Khas itu turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang membesarkan anak-anak bersama Norman meskipun ikatan mereka sebagai suami isteri sudah lama terlerai.
“Syukur ALLAH panjangkan umur kita sebab banyak lagi tanggungjawab yang tak selesai dan takkan pernah selesai.
"Terima kasih untuk banyak sebab, masih sudi bersama saya meraikan anak-anak,” katanya.
Sejarah silam
Bagi Abby, tanggungjawab menjadi ibu bapa kepada anak-anak yang ramai menuntut kesabaran, pengorbanan, dan kerjasama berterusan.
Dia mengakui, tanggungjawab itu tidak pernah berakhir dan perlu dipikul bersama, walau apa jua sejarah silam yang pernah dilalui.
“Saya nak kita bersama, dapat berkumpul selalu bukan hanya di dunia tetapi di akhirat nanti,” tambahnya lagi, mencerminkan harapan seorang ibu yang meletakkan kebahagiaan anak-anak sebagai keutamaan.
Untuk rekod, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada 2002 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 23, Marissa Dania Hakim, 21, dan Danisha Hakim, 18. Namun, jodoh mereka berakhir tujuh tahun kemudian.
Abby kemudiannya berkahwin dengan Faizal, manakala Norman mendirikan rumah tangga bersama pelakon Memey Suhaiza pada 2011.
Walaupun masing-masing telah melangkah ke fasa kehidupan baharu, kematangan yang ditunjukkan Abby dan Norman menjadi contoh bahawa hubungan pasca-perpisahan tidak semestinya dingin atau penuh sengketa. Sebaliknya, ia boleh berkembang menjadi persahabatan yang sihat, berteraskan kasih sayang terhadap anak-anak.
Percutian di Jepun itu akhirnya bukan sekadar kisah melancong, tetapi gambaran indah tentang sebuah keluarga moden yang memilih untuk berdamai dengan masa lalu, demi kehidupan anak-anak yang lebih seimbang dan bahagia.