AKTIVIS kemanusiaan dan pempengaruh media sosial, Farah Lee bakal menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan cyst yang dialaminya selepas hari raya Aidilfitri April depan.
Pemilik nama Nurfarahin Romli itu berkata, keputusan menangguhkan pembedahan dibuat selepas doktor yang merawat memaklumkan cyst tersebut tidak membahayakan kesihatan biarpun semakin membesar.
“Saya tangguh rawatan sehingga selepas raya kerana mahu menyelesaikan beberapa misi kemanusiaan terlebih dahulu.
“Memang ada salah satu cyst yang semakin membesar, namun saya belum sempat menjalani pembedahan tetapi syukur tidak membahayakan kesihatan,” katanya kepada Kosmo.
Tutur Farah, kurang rehat sehingga hormon dalam badan menjadi tidak seimbang sekali gus menjadi punca ketumbuhan cyst berkenaan aktif beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sebenarnya sudah lebih dua tahun, cuma ketika itu saiznya tidak begitu besar tetapi akhir-akhir ini kesihatan saya tidak berapa baik dan hormon juga tidak seimbang sebab jadual yang padat.
“Ini juga termasuk faktor sindrom pascatrauma misi kemanusiaan yang juga menjadi antara sebab cyst dalam badan saya membesar dengan cepat,” katanya lagi.
Difahamkan, Farah bakal menyertai misi kemanusiaan ke beberapa negara termasuk Indonesia, Laos, Syria dan Afghanistan bagi menghulurkan bantuan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya, Childrity.
“Insya-ALLAH saya akan ke sana bagi menyertai misi bantuan banjir yang kita sedia maklum keadaannya sangat teruk dan bantuan amat terhad.
“Beberapa hari selepas pulang, saya akan ke Laos pula bagi membantu komuniti Muslim di sana.
"Ramadan ini saya memang tidak berada di Malaysia kerana akan ke Syria dan Afghanistan,” tuturnya.
Farah merupakan salah seorang delegasi Malaysia yang menyertai misi bantuan ke G4z4 menerusi Global Sumud Flotilla.
Sekadar info, Farah mendirikan rumah dengan atlet kuda lasak ,Muhammad Fuad Hashim pada 5 Januari 2024.
Terdahulu, dia pernah berkahwin dengan dengan personaliti televisyen, Ally Iskandar pada Januari 2012 dan berpisah pada Ogos 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Maream Esaabel yang kini berusia 11 tahun.
Sumber: Kosmo