PILIHAN sekolah anak sering menjadi topik sensitif, lebih-lebih lagi apabila melibatkan aliran vernakular.
Namun bagi pempengaruh dan usahawan, Syafiqah Aina, keputusan menghantar anak sulungnya, Raisya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bukan dibuat secara ikut-ikutan, sebaliknya hasil perancangan pendidikan jangka panjang yang telah difikirkan sejak awal.
Memetik Astro Gempak, Aina tampil menjelaskan rasional di sebalik pilihannya yang menurutnya berfokus kepada kelebihan penguasaan bahasa, pembentukan disiplin serta kekuatan akademik.
Menurut isteri kepada Hafiz Mahamad, sejak awal lagi dia memang menyimpan hasrat untuk menghantar anak-anak ke sekolah Cina kerana melihat banyak peluang yang boleh diperoleh melalui sistem pendidikan tersebut.
“Aina memang mahu menghantar anak-anak ke sekolah Cina kerana bagi saya, terdapat banyak kelebihan dari segi kemahiran bahasa tambahan, disiplin dan akademik.
“Ketika mereka masih kecil, otak sedang berkembang dan mereka berada dalam fasa paling seronok untuk belajar pelbagai perkara. Inilah masa terbaik untuk merancang hala tuju pendidikan mereka,” ujarnya.
Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, pendedahan awal ke SJKC memberi kelebihan besar dari segi penguasaan bahasa berbanding jika hanya mencuba memasuki sistem tersebut pada usia yang lebih lewat.
“Apabila dihantar lebih awal ke sekolah Cina, mereka mempunyai peluang untuk mempelajari lebih banyak bahasa.
"Pada usia kecil, pembelajaran lebih mudah difahami dan diserap berbanding mencampurkan bahasa ketiga apabila mereka sudah besar nanti,” jelasnya lagi.
Bagi memastikan Raisya tidak terkejut dengan persekitaran pembelajaran, Aina turut mengambil langkah awal dengan menghantar anaknya ke tadika Cina selama dua tahun bagi membina asas bahasa Mandarin.
“Betul, Aina hantar Raisya ke tadika Cina selama dua tahun supaya dia sekurang-kurangnya mempunyai asas bahasa Mandarin.
"Nak kata sudah fasih bertutur, belum lagi. Namun, asas itu insya-ALLAH sudah ada selepas dua tahun di tadika.
“Dari segi disiplin pula, Aina merasakan sekolah Cina lebih tegas terutama berkaitan masa, kerja rumah dan mereka juga mendidik anak-anak supaya lebih berdikari sejak di bangku sekolah,” kongsinya lagi.
Sifat berdikari
Sementara itu, dalam satu hantaran lain di Instagram miliknya, Aina tidak menafikan perasaan sebak seorang ibu apabila melihat anak sulung melangkah ke alam baharu.
“Sudah tiba masa aku,” luahnya.
“Anak sulung Mommy melangkah ke alam sekolah rendah hari ini.
"Mommy tahu kamu sedang membesar, tetapi ada sebahagian dalam diri Mommy yang masih ingin menahan detik ini sedikit lebih lama.
“Rasa seperti baru semalam kamu menggenggam tangan Mommy erat-erat, dan hari ini kamu sudah bersedia melangkah ke dunia sendiri,” tulis Aina penuh emosi.
Menurutnya, dia kini perlu menerima hakikat bahawa selepas ini anaknya akan menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah bersama rakan-rakan.
“Mommy berharap kamu akan sentiasa mencari ketenangan dalam diri Mommy dan kembali kepada Mommy untuk berkongsi kegembiraan, kebimbangan, rahsia kecil kamu dan segala-galanya.
“Kerana walau sebesar mana pun kamu membesar, di mata Mommy kamu tetap bayi Mommy, dan Mommy tetap ingin melakukan segalanya untuk kamu,” luahnya lagi.
Walaupun mengakui berat hati apabila tidak dibenarkan menghantar dan menunggu anak di dalam kawasan sekolah seperti kebiasaan ibu bapa lain, Aina percaya pendekatan tersebut mampu membentuk sifat berdikari dalam diri anak sejak awal usia.
“Walaupun sedih sedikit kerana ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah dan menunggu anak pada hari-hari awal persekolahan, kami hanya boleh menurunkan mereka di hadapan pintu pagar.
"Tujuannya untuk mengajar anak-anak mengurus diri sendiri, mencari kelas sendiri dan makan sendiri,” katanya.
Menjawab persoalan mengapa tidak memilih sekolah swasta atau antarabangsa, Aina menegaskan dia mahu anaknya merasai pengalaman pendidikan yang lebih realistik, sama seperti yang pernah dilalui oleh ibu bapanya dahulu.
“Aina memang tidak pernah merancang untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta atau antarabangsa kerana mahu mereka merasai pengalaman seperti yang pernah dilalui oleh Mommy dan Daddy mereka.
“Mommy berharap ini adalah pilihan dan jalan terbaik yang Mommy berikan untuk kamu, dan semoga perjalanan ini membantu kamu membesar menjadi seorang anak perempuan yang baik hati, yakin dan kuat,” katanya lagi.