SUDAH menjadi adat ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berasrama merindui kehadiran anak yang selama ini berada di sisi. Namun, pengorbanan itu perlu demi memberi ruang kepada anak belajar mengurus diri dan hidup berdikari.
Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha juga tidak terkecuali. Berkongsi cerita puteri keduanya, Sophea Natasha melanjutkan persekolahan peringkat menengah di Kolej Tunku Kurshiah (TKC) yang kini sedang mengikuti minggu orientasi.
"Pergi melawat anak di asrama, terubat rindu. Masih minggu orientasi dan Tasha semakin menyesuaikan diri. Mula berkawan dengan rakan baharu.
"Dia bangun seawal jam 4.30 pagi. Kenapa begitu awal? Kerana perlu basuh baju sendiri.
"Tiada air panas untuk mandi dan makan minum, adakah semuanya okay? Itulah lumrah kehidupan asrama, berdikari dan segalanya sendiri," kongsinya.
Dalam pada itu, beliau meluahkan kesyukuran selepas Tasha dimaklumkan semakin menyesuaikan diri dengan suasana baharu.
"Saya gembira Tasha dapat menyesuaikan diri dengan baik. Rindu itu perkara biasa. Perasaan itu akan reda.
"Keadaan akan bertambah baik dan semuanya memerlukan masa. Daddy sayangkan kamu," kongsinya.
Pada ruangan komen, banyak ibu bapa berkongsi keadaan anak di asrama pada minggu-minggu awal ini. Ada yang masih 'homesick' dan bergelut menyesuaikan diri dengan rutin asrama.
"Anak sulung saya lelaki, sebulan awal masih kejar kereta kami waktu pulang selepas melawat dan kini sudah berdikari. Sekolah berasrama insya-ALLAH akan mengubah seseorang menjadi lebih baik."
"Saya semalam melawat anak di sekolah berasrama juga. Dia masih homesick tapi lebih baik. Alhamdulillah dapat kawan yang baik."
"Teruskan, Tasha. Beginilah kehidupan kami di asrama suatu ketika dahulu dan pengalaman itulah yang membentuk siapa diri kami hari ini. Bertahan Tasha."
"Saya juga ada dua orang anak di asrama, hujung minggu kami suami isteri memang di sekolah anak-anak sahaja. Itu belum lagi barang hilang atau rosak, kena selalu sedia duit dalam wallet."