'Saya tak buat cucuk, filler.' Maria Farida dedah rahsia awet muda usia 50-an, ini reaksinya bila dikata terlalu seksi

Iklan

MELEWATI  lewat usia  50-an bukan alasan untuk menyembunyikan diri atau tunduk kepada tekanan kecantikan moden. Bagi Datin Sri Maria Farida, keyakinan dan penerimaan diri adalah rahsia sebenar yang menjadikan penampilannya sentiasa dipuji, tenang dan bersahaja tanpa perlu bergantung pada jarum mahupun teknologi kecantikan berlebihan.

Pelakon yang sinonim dengan wajah jelita dan aura elegan ini mengakui dirinya memilih untuk menua secara semula jadi.

Iklan
Iklan

Maria atau nama sebenarnya Maria Farida Atienza berkata, dia tidak pernah melakukan sebarang rawatan suntikan atau pembedahan kosmetik untuk mengekalkan rupa parasnya seperti yang sering diperkatakan di media sosial.

Menurutnya, rutin penjagaan diri yang diamalkan juga cukup ringkas dan tidak rumit.

Iklan

Dia tidak obses dengan produk penjagaan kulit, sebaliknya hanya menjalani rawatan wajah asas, itu pun apabila ditaja.

Baginya, kesederhanaan adalah pilihan terbaik berbanding mengejar kecantikan segera yang akhirnya mengubah wajah asal.

Iklan

"Saya ni sebenarnya bukan jenis yang pakai skincare dan bukan juga jenis yang exercise.

"Saya cuma cuba hidup secara sihat. Tidur awal, minum air yang cukup dan cuba elakkan perkara yang buat kita stres.

"Kalau kopi tu, minum juga… sebab itu favourite saya,” ujarnya.

Maria secara terbuka menyuarakan pendiriannya tentang trend suntikan wajah yang semakin menjadi-jadi.

"Saya tak buat benda-benda cucuk, pembedahan atau filler. Semua tu saya memang tak buat.

"Malah, saya lebih selesa dengan rawatan asas yang membantu menjaga kesihatan kulit.

"Rawatan kecantikan saya memang disokong oleh klinik, jadi setiap bulan saya akan buat facial atau rawatan ringan seperti RF dan silk peel. Benda-benda simple saja," ungkapnya lagi.

Tegas Maria, dia lebih selesa menerima perubahan usia secara jujur daripada kelihatan bengkak dan tidak semula jadi.

Malah, kedutan di wajah baginya bukan sesuatu yang perlu disorokkan, sebaliknya lambang kehidupan dan pengalaman.

Pelakon itu turut meluahkan rasa terkilan apabila sering dituduh melakukan pelbagai rawatan kosmetik.

"Saya percaya positive thinking itu sangat penting. Jangan surround diri dengan toxic environment.

"Apa saja yang buat kita happy, buatlah. Dan apa yang buat kita stres, jauhkan diri daripada benda itu," ungkap Maria.

Pada masa sama, dia percaya kecantikan yang dimilikinya hari ini banyak dipengaruhi faktor genetik.

Maria bersyukur kerana ahli keluarganya, termasuk arwah ibu dan nenek serta keluarga sebelah bapa dari Filipina, semuanya kelihatan awet muda.

Perkara itu dikongsikan Maria ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Pemuja, yang berlangsung di TGV The Starling, Petaling Jaya.

Mengulas tentang tanggapan segelintir pihak yang menganggap dirinya masih seksi pada usia 56 tahun, Maria menjelaskan cara dia berpakaian adalah untuk kepuasan diri sendiri.

Penampilannya juga bukan bertujuan menarik perhatian sesiapa, malah sudah mendapat keizinan suami tercinta, Datuk Seri Rahman Shakur.

Maria mengakui dia sudah lali dengan pelbagai komen, sama ada pujian atau kecaman.

Dia memilih untuk tidak membalas atau menyekat, sebaliknya sekadar membaca dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada perjalanan hidup sebagai selebriti yang sudah ditempuh berpuluh-puluh tahun.

Dalam perkembangan terbaharu, filem Pemuja arahan Azmir Affandi menandakan penampilan sulung Maria dalam genre seram.

Filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Qi Razali, Yasmin Hani, Namron dan beberapa pelakon lain.