PEMERGIAN pelakon Allahyarham Nadia Kesuma benar-benar menyayat hati. Menghembuskan nafas terakhir di bumi anbia selepas hilang jejak, pelbagai spekulasi timbul, malah foto didakwa arwah rebah juga bertebaran.
Suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menerusi hantaran di Facebook tampil memberi penjelasan kepada orang ramai.
"Setelah segala-galanya berlaku dan saya ingin membetulkan fakta atau teori yang mengelirukan berkaitan kehilangan dan pemergian arwah. Mengapa saya berbuat demikian? Supaya netizen tidak terus menanggung “dosa kering” tanpa menyedari kebenaran, sama ada dalam bentuk video, penulisan dan sebagainya.
"Selain itu, saya juga mahu memastikan keluarga saya (termasuk keluarga arwah) tidak terkesan pada masa akan datang. Bagaimanapun, saya memaafkan semua pihak yang sama ada secara sedar atau tidak telah berkata-kata, menulis atau menyebarkan perkara yang tidak benar," jelasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Kamarul turut menjelaskan sudah menerima barangan milik Allahyarham yang dibawa bersama. Setelah meneliti hantaran mesej Allahyarham, katanya tiada satu pun mesej bertulis 'I met stranger' seperti yang tular. Malah bagasi kargo milik arwah tidak pernah sampai ke London.
"Kami telah menerima kesemua barang milik arwah, termasuk dua beg bagasi yang sebelum ini didakwa telah sampai ke London walaupun arwah dikatakan 'masih di Jeddah.'
"Hakikatnya, sehari selepas arwah dilaporkan hilang, pihak agensi pelancongan menerima e-mel daripada Lapangan Terbang Jeddah yang memaklumkan bahawa kedua-dua bagasi daftar masuk tersebut masih berada di sana dan meminta agensi mengambilnya.
"Maklumat ini telah disampaikan oleh pihak agensi kepada saya melalui panggilan telefon.
"Kedua-dua telefon bimbit arwah disimpan oleh polis lapangan terbang dan telah dipulangkan kepada saya. Tiada sebarang mesej bertulis “I MET A STRANGER” dan perkara ini telah pun saya jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di laman Facebook saya.
"Bagasi kabin dan beg silang (sling bag) juga telah dipulangkan oleh pihak Lapangan Terbang Jeddah dan tidak pernah sampai ke London mahupun dibawa keluar dari lapangan terbang tersebut.
"Fakta dan teori lain yang mengelirukan akan dikupas serta diperbetulkan dari semasa ke semasa," kongsinya.
Manakala dalam hantaran terbaharu, pensyarah itu turut menjelaskan terdapat gambar tangkap layar memaparkan individu didakwa Allahyarham Nadia Kesuma rebah dan dibawa dengan pengusung di lapangan terbang.
"Satu lagi fakta yang mengelirukan iaitu posting bergambar yang memaparkan tangkapan layar yang kononnya menunjukkan arwah rebah di lapangan terbang. Untuk pengetahuan semua, bukti video tersebut tidak wujud buat masa sekarang.
"Kami pihak keluarga, telah membuat permohonan rasmi melalui kerajaan Malaysia kepada kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan video tersebut kepada kami, keluarga sahaja memandangkan arwah telah dilaporkan hilang pada 15 Januari.
"Namun malangnya, permohonan kami masih belum diluluskan sehingga hari ini (hari kami meninggalkan Jeddah pulang ke Malaysia). Mereka mempunyai protokol, polisi dan prosedur yang berbeza. Sebagai keluarga, kami berasa sedih tetapi kami menghormati amalan mereka. Contohnya, jika orang dewasa hilang, laporan hanya boleh dibuat selepas 24 jam kehilangan baharulah pihak polis boleh menerima laporan daripada kita.
"Jadi bagaimana kita tahu bahawa arwah meninggal dunia di lapangan terbang Jeddah? Kejadian itu diterangkan (berdasarkan kamera litar tertutup) oleh pegawai Saudi di sana. Video tersebut tidak ditunjukkan kepada kami.
"Kami juga tidak diberitahu di mana tempatnya kejadian itu berlaku. Oleh itu, jika ada kenyataan yang menyatakan arwah jatuh di tempat tertentu, maka itu tidak benar. Apa yang diceritakan ialah arwah dibawa keluar menggunakan pengusung ke ambulans dan diberikan rawatan perubatan secepat mungkin," jelas Muhammad Kamarul.
Dalam pada itu, dia juga menjelaskan maklumat kematian Allahyarham Nadiah Kasumawati Abdul Karim.
"Kami tidak tahu dengan tepat di mana arwah rebah tetapi kami tahu waktu kematian iaitu sekitar 8.00 hingga 8.10 pagi (waktu Jeddah, atau 1.00 hingga 1.10 petang waktu Malaysia).
"Dalam posting anak saya (Myraa), ditulis sebagai 8.05 malam. Itu adalah kesilapan anak saya kerana kami dimaklumkan berita kematian oleh Wisma Putra pada jam 12.17 tengah malam (18 Jan 2026).
"Oleh itu, dia menyangka kematian arwah berlaku pada waktu malam. Waktu kematian rasmi yang diberikan oleh pihak hospital di Jeddah ialah 8.07 pagi (waktu Jeddah atau 1.07 petang waktu Malaysia)," titipnya.
Keluarga Allahyarham Nadia Kesuma berharap agar orang ramai menghormati hakikat sebenar dan tidak terus menyebarkan spekulasi yang tidak tepat.
Penjelasan Muhammad Kamarul ini memberi kejelasan terhadap kekeliruan yang timbul . Semoga semua pihak dapat menghormati proses perundangan dan prosedur yang ditetapkan, serta mendoakan kesejahteraan arwah di sisi-NYA.
Sumber: Facebook