DI sebalik pentas gemerlap dan lampu sorot, kehidupan selebriti sering disangka sempurna. Namun bagi penyanyi Ayu Damit, senyuman yang dilihat peminat hanyalah topeng bagi tekanan dan kritikan yang pernah menekan dirinya hingga ke tahap kemurungan.
Dalam temu bual terbaharu, Ayu membuka kisah perit tentang bagaimana komen negatif terhadap rupa parasnya bukan sahaja menyakitkan hati, tetapi juga menjejaskan keyakinan diri dan kesihatan mentalnya.
Sepanjang 18 tahun bergelar penyanyi, Ayu mengakui sering menerima label negatif, dikatakan berwajah kampung, tidak cantik, dan tidak layak berada dalam industri hiburan. Lebih menyedihkan, ada yang secara terbuka menafikan masa depannya hanya kerana tidak menepati piawaian kecantikan tertentu.
“Saya pernah sangat kecewa, terasa hati dan tersinggung. Bila orang kata wajah saya kampung, tak cantik, tak sesuai jadi penyanyi.
"Lama- kelamaan ia masuk ke dalam kepala. Dari situ saya mula alami kemurungan,” luah Ayu dengan penuh jujur.
Bukan itu sahaja, usaha pelantun lagu Hanya Di Mercu itu untuk memperbaiki penampilan juga sering dikritik. Setiap langkahnya, sama ada berpakaian lebih kemas atau tampil menawan di pentas, tetap ada yang mempertikaikan.
Terlalu seksi
Malah tuduhan melampau turut dilemparkan, ada yang menuduhnya terlalu seksi atau menyalahkan didikan suaminya.
“Ada yang sampai sanggup cakap suami saya tak pandai didik isteri. Ada yang hina cara saya bertudung, kata ketat macam pakai pembalut nangka.
"Kata-kata macam tu bukan saja hina saya, tapi juga keluarga saya. Saya boleh kuat di luar, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu betapa peritnya saya simpan semua itu,” jelas Ayu.
Namun, perjalanan itu bukan sekadar luka dan duka. Pemilik nama sebenar, Norayu Damit mula belajar untuk berdamai dengan diri sendiri dan menyedari bahawa nilai seorang wanita bukan terletak pada cantik di mata manusia, tetapi pada kekuatan hati dan keikhlasan.
Fasa sukar itu akhirnya membawanya bertemu dengan Dr Hisham Dzakiria, yang lebih dikenali sebagai Dr Healing.
Pertemuan dengan Dr Hisham menjadi titik mula Ayu menenangkan diri, menyusun emosi dan melihat semula perjalanan hidup dengan lebih jelas.
Menurut Dr Hisham, setiap ujian hidup adalah universal dan tidak membezakan status atau gelaran.
“Apa yang penting, kita belajar untuk mengawal reaksi dan emosi. Jangan beri ruang kepada suara-suara negatif kerana ia boleh membuat kita hilang fokus, arah, dan akhirnya kehilangan diri sendiri.
"Apa yang berlaku dalam hidup ini bukan kebetulan. Ini adalah takdir. Kita wajib terima setiap ketentuan ALLAH, walaupun hikmahnya belum nampak,” katanya.
Tekanan emosi
Isu tekanan emosi kini bukan lagi terpencil. Golongan muda dan dewasa kerap berdepan masalah kemurungan, kebimbangan, konflik hubungan dan keletihan emosi.
Fenomena tersebut menekankan bahawa kesihatan minda sama pentingnya seperti kesihatan fizikal.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian pusat berkenaan baru-baru ini.
Kongsi beliau lagi, penubuhan pusat berkenaan sebagai ruang intervensi praktikal dan berstruktur, membantu individu mencapai kestabilan emosi serta transformasi minda.
Dr Hisham menekankan bahawa pusat ini bukan sekadar rawatan, tetapi juga ruang selamat yang mana setiap individu boleh berkongsi beban tanpa rasa malu atau takut dihakimi.
“Ramai yang segan untuk mendapatkan bantuan mental kerana stigma.
"Sebenarnya, meminta bantuan bukan tanda kelemahan, tapi langkah berani menuju kehidupan lebih baik,” ujarnya.
Sekadar makluman, Healing Centre merupakan subsidiari di bawah Ecotwin Step Training & Consultancy Sdn Bhd, yang turut menawarkan seminar pengurusan kesihatan mental dan pembangunan diri.