PILU! Warga emas berusia 70-an yang dikenali sebagai Moksu Bedak Sejuk atau nama sebenarnya Tengku Jariah Hanna Tuan Ismail sudah tiada.
Wanita itu yang juga pemegang Kad Orang Kurang Upaya tular di media sosial kerana sering memakai bedak sejuk serta bersikap mesra apabila disapa itu maut selepas dilanggar sebuah kereta di depan Stesen Minyak Shell, Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, laporan berhubung kejadian diterima pada 8.46 pagi manakala kemalangan dipercayai berlaku pada 7.35 pagi.
Siasatan awal mendapati pemandu kereta itu sedang memandu dari arah KB Mall menghala ke Bulatan Padang sebelum tiba di lokasi kejadian.
"Ketika itu, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari bahu kiri ke bahu kanan jalan.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu yang berada di laluan lurus dan di laluannya yang sah tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa," katanya.
Susulan kemalangan, Moksu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia di Wad Zon Merah sementara pemandu kenderaan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis menyeru mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan.
“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, sebuah kenderaan melalui jalan berhampiran bulatan Jam Besar sebelum arwah yang sedang melintas jalan dipercayai dilanggar dan pemandu terbabit melarikan diri.
“Arwah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya.
Tutur Tengku Ahmad Fakri, kakaknya dan dikenali ramai penduduk tempatan kerana gelagatnya yang bersahaja, menghiburkan, pandai berpantun dan sering berada di sekitar bandar Kota Bharu.
“Pada usia 17 tahun sekitar 1972, arwah mula mengalami gangguan kesihatan mental, bercakap sendiri dan pernah dimasukkan ke Hospital Mental, Berek 12.
“Bagaimanapun, arwah pernah pulih seketika dan bergantung kepada rawatan serta ubat-ubatan sebelum kembali stabil sepenuhnya,” katanya.
Tambahnya, Allahyarham seorang yang aktif serta pernah bergiat sebagai atlet semasa menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Biji Wangsa, Tumpat.
Ujarnya lagi, jenazah Tengku Jariahhanna akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sireh.
Sumber: Bernama, Sinar Harian