MASUK penjara usia 14 tahun, keluar pada 37 tahun, banduan pertama peroleh Doktor Falsafah (PhD) di sebalik tirai besi, Dr Malik Yatam pernah menjadi inspirasi warganet.
Diberi pengampunan penuh oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena hari keputeraan baginda pada tahun 2024, lelaki berasal dari Sabah itu Selangor Sultan Sharafuddin Idris menerima perkenan untuk menghadap.
Menerusi hantaran di laman sosial, Malik berpeluang bertemu selama hampir sejam dalam suasana yang hening, sedih dan pilu.
"Ini adalah pertemuan pertama seumpamanya antara Tuanku dengan seorang bekas banduan yang mendapat pengampunan daripada baginda.
Selepas 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) iaitu hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana semasa kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun, Malik akhirnya dibebaskan pada 11 Disember 2024.
"Dia menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, Malik kini berusia 39 tahun berjaya memperoleh PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan, hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Artikel penuh:
"Pada pertemuan ini, Baginda berkenan bertanyakan khabar tentang perkembangan kehidupan beliau selepas keluar dari penjara dan perancangan masa hadapan. Baginda amat terharu dengan kisah perjalanan hidup Malik dan baginda merasakan beliau layak untuk diberi peluang kedua," kongsinya.
Menurut hantaran Selangor Royal Office, baginda telah mempertimbangkan pengampunan ini sebaik mungkin melihat kepada semua faktor yang telah disembah maklumkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.
Baginda turut menasihatkan Malik agar terus menjaga nama baik keluarga dan sentiasa bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup.
KRONOLOGI KISAH DR MALIK, 23 TAHUN DI SEBALIK TIRAI BESI
Menerusi perkongsiannya menerusi audio siar sebelum ini, Malik terdahulu mendedahkan datang ke ibu kota untuk bekerja namun berakhir dengan tuduhan membunuh.
Pada usia 14 tahun dan didorong keinginan membara untuk mengubah nasib keluarga, beliau nekad mengikut seorang lelaki yang baru dikenali sebagai ejen pekerjaan.
Dijanjikan gaji RM800 sebulan, awalnya hasrat itu ditentang hebat oleh ibu bapa kerana faktor usia dan tiada kenalan di Semenanjung namun Malik tetap melangkah pergi.
Tiba di Kuala Lumpur pada tahun 2001, impian menjadi pembuat kek berkecai. Murad dan lapan rakannya ditipu hidup-hidup.
Mereka dijadikan buruh paksa tanpa gaji, dokumen dirampas, dan sering dipukul jika tidak menurut perintah. Pada usia yang sangat mentah, dia terpaksa bekerja sehingga tengah malam dalam ketakutan dan penyesalan yang tidak berhujung.
Selepas lima bulan menderita bekerja sebagai tukang masak, dia terlihat pintu jeriji terbuka dan telah cuba melarikan diri dari 'neraka' tersebut. Namun, tindakannya dihidu majikan yang kemudian bertindak bertindak memukul tanpa belas kasihan.
Dalam keadaan terdesak demi mempertahankan nyawa, dia mencapai pisau dan tertikam majikannya dalam pergelutan itu.
Murad melarikan diri ke lapangan terbang untuk pulang ke Sabah namun tepat jam 6 pagi sebelum menaiki pesawat, dia ditahan polis.
Majikannya kemudian disahkan meninggal dunia. Oleh kerana faktor umur di bawah 18 tahun, dia terlepas daripada hukuman gantung tetapi dijatuhi hukuman TLS iaitu dipenjara tanpa tarikh bebas yang pasti, bergantung sepenuhnya kepada pengampunan Tuanku.
Di sebalik tembok batu, Murad menemui sinar baharu. Dia memeluk Islam dan mula menyedari bahawa hanya ilmu mampu merubah darjatnya.
Walaupun asalnya hanya tamat Darjah Enam dan tidak tahu membaca, penjara umpama universiti kehidupan Malik membuktikan keajaiban dengan menggenggam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), ijazah, sarjana dan akhirnya PhD.
Difahamkan, SPM dan STPM dibiayai melalui bantuan zakat Mualaf, ijazah hasil dermasiswa sepenuhnya daripada Open University Malaysia (OUM) manakala sarjana menerusi sokongan biasiswa daripada hamba ALLAH yang percaya kepada potensi beliau tanpa mengharapkan sebarang balasan.
PhD ditaja sepenuhnya oleh pihak OUM sebagai graduan PhD pertama dari tirai besi.
Beliau kini pulang ke pangkuan keluarga di Sabah dan menjadi usahawan tani yang mahu membantu bekas banduan lain melalui syarikatnya, Hikmas Enterprise.