PERSONALITI media sosial, Syifa Melvin selamat menimang anak kedua yang juga bayi perempuan, sekali gus menambah seri rumah tangganya bersama pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid.
Syifa berkongsi khabar gembira itu menerusi hantaran di Instagram miliknya, memaklumkan bahawa dia selamat melahirkan puteri sulung mereka pada Isnin lalu.
“Tu lah ek bukan sebab nombor dua, sebab busy handle nombor satu dengan nombor dua sampai lupa nak update, beranak dah tau Day 11.
“Alhamdulillah.. Amanah kali ni kami bagi nama Suci Suleima Binti Muhammad Safawi.
“Tunggu besar sikit kita bagi gambar okay.. Suci lahir berat 2.92kg secara elective czer.
“Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar walaupun Dadda dia shaking dalam OT tu, mungkin sebab sejuk lah kot,” kongsi Syifa bersahaja.
Dalam perkongsian sama, Syifa turut menceritakan detik menyentuh hati membabitkan anak sulungnya, Saif Sulaiman yang masih cuba menyesuaikan diri menerima kehadiran adik baharu.
“Penerimaan Saif masih ego, dia faham ibu pergi potong perut, tapi dalam ward ada family Syifa, dia macam tak mahu tengok lagi adik dia, tak datang dekat Syifa pun, sedih ibu.
“Tapi selalunya biasa je kan benda tu.. Abang tetap cinta hati pertama ibu, my manja boy,” tulisnya jujur.
Perkhabaran kelahiran bayi perempuan itu turut dikongsikan oleh adik ipar Syifa yang juga pemain bola sepak, Alfi Rasid menerusi satu hantaran video di media sosial.
Gender reveal
Momen manis Safawi mendukung puteri kecilnya sambil membacakan iqamat nyata menyentuh hati ramai.
“Alhamdulillah, masya-ALLAH anak buah yang ke-24. Tahniah Syifa dan Safawi (abang),” tulis Alfi.
Syifa kemudiannya memuat naik semula perkongsian tersebut sambil mengucapkan terima kasih atas doa dan ucapan yang diterima.
“Alhamdulillah, terima kasih Lan (panggilan Alfi),” balasnya ringkas penuh syukur.
Terdahulu, Syifa pernah memaklumkan mengenai kehamilan keduanya pada Ogos tahun lalu sebelum mengadakan majlis ‘gender reveal’ pada September 2025 yang mengesahkan mereka bakal menimang cahaya mata perempuan.
Untuk rekod, Syifa dan Safawi mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022 dan dikurniakan anak sulung, Saif Sulaiman yang kini berusia tiga tahun.
Kehadiran Suci Suleima pastinya melengkapkan lagi kebahagiaan keluarga kecil ini, sekali gus membuka lembaran baharu penuh warna dalam perjalanan kehidupan Syifa sebagai seorang ibu kepada dua cahaya mata.