JIKA dulu rutin hariannya di set penggambaran, kini pagi Memey Suhaiza bermula dengan live jualan, mesyuarat pasukan dan semakan operasi bisnes. Fasa hidupnya berubah, tetapi satu perkara kekal, kesungguhan yang tak pernah surut bila melakukan sesuatu.
Peralihan daripada dunia lakonan ke dunia keusahawanan bukan sekadar persinggahan buat Memey, sebaliknya menjadi perjalanan baharu yang dibina langkah demi langkah. Tanpa gimik, tanpa jalan pintas hanya kerja keras, disiplin dan sokongan keluarga sebagai tunjang.
Siapa sangka, dalam tempoh hanya tiga tahun mengemudi jenama Normey, perkembangan yang diraih cukup luar biasa.
Jika tahun lalu jualannya sekitar RM4 juta, kini angka itu melonjak berkali ganda. Bagi Memey, pencapaian tersebut masih terasa ‘tak nyata’.
“Kalau bandingkan dengan tahun lepas memang sangat berbeza. Saya sendiri kadang segan nak kongsikan angka sebenar, tapi Alhamdulillah peningkatannya besar dari tahun ke tahun,” katanya merendah diri.
Di sebalik kesibukan menguruskan bisnes yang kini mempunyai kira-kira 20 kakitangan tetap serta dibantu pekerja sambilan, pemilik nama sebenar Suhaiza Suhaimi itu mengakui rutin hariannya padat dari pagi hingga malam.
Tiada istilah goyang kaki, pagi dia sendiri turun padang membuat siaran langsung, malam pula bersama pasukan memantau operasi. Malah, komitmen itu jugalah menjadi sebab dia tidak lagi aktif di layar perak.
“Saya tidak terfikir ke arah itu (berlakon), tapi bukan bermakna minat sudah tiada. Cuma masa saya sekarang lebih kepada bisnes.
“Setiap hari saya fokus pada keluarga, anak-anak dan live jualan. Saya uruskan banyak perkara sendiri, sebab itu masa untuk kembali ke bidang seni agak terhad,” ungkapnya jujur.
Menariknya, walaupun sering dilihat sebagai wajah hadapan jenama tersebut, anak jati Kota Tinggi, Johor itu tidak lokek mengakui insan paling kuat di belakangnya ialah suami tercinta, Norman Hakim.
“Orang nampak Normey ini Memey sebab saya ke depan dari segi marketing, tapi sebenarnya ia takkan jadi tanpa suami.
“Norman orang di belakang tabir. Dia banyak belajar tentang struktur bisnes, susun strategi, kemudian dia ajar saya… dan saya pula turunkan kepada team,” kongsinya.
Ditanya mengenai kontroversi yang pernah melibatkan suaminya, Memey memilih pendekatan lebih tenang dan berhati-hati.
“Saya memilih untuk tidak bercakap soal personal. Saya lebih suka reserved. Kita sendiri pun ada banyak kekurangan dan kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan.
"Kita tak tahu apa yang akan berlaku masa depan. Jadi, saya sentiasa doakan yang terbaik, secara umumnya, begitulah yang saya boleh katakan. Apa yang saya kongsi, itu saja untuk tatapan umum,” jelasnya.
Namun dari sudut perniagaan, dia bersyukur kerana kepercayaan pelanggan tidak pernah terjejas.
“Alhamdulillah, apa yang berlaku tak beri kesan pada bisnes. Pelanggan nilai kualiti dan servis.
“Alhamdulillah, dengan izin ALLAH, apa yang berlaku tak beri kesan pada bisnes. Pelanggan sekarang lebih nilai produk dan servis, bukan menilai cerita kontroversi semata-mata.
“Saya berniaga bukan sekadar suka-suka atau nak orang kenal jenama, tapi saya jaga kepercayaan pelanggan. Saya juga bersangka baik dengan semua orang, jadi tak pernah jadi isu,” ujarnya.
Jaringan komuniti bisnes
Seiring perkembangan jualan, pertumbuhan fizikal syarikatnya juga bergerak pantas. Bermula dari pejabat kecil, kini Normey memiliki dua bangunan operasi sendiri lengkap dengan ruang pengurusan dan gudang.
Lebih menarik, bangunan baharu yang pada awalnya hadir sebagai rezeki tidak disangka kini dirancang menjadi ruang yang lebih ‘hidup’.
“Saya asalnya nak buat butik, tapi pelanggan saya ramai ibu-ibu. Jadi saya terfikir mungkin buat ruang santai seperti kafe atau restoran kecil.
“Suami pula cadangkan bina surau sekali. Jadi bila Ramadan, orang boleh datang berkumpul, beli produk dan beribadah sekali,” ceritanya teruja.
Bagi Memey, kejayaan bukan semata-mata diukur pada trofi, tetapi pada progres kecil yang diraikan setiap hari, daripada sasaran jualan harian sederhana hinggalah mampu melepasi target sendiri.
Memasuki 2026, langkah ibu kepada tiga cahaya mata itu semakin agresif. Dia tidak mahu jenamanya sekadar wujud atau ikut arus, sebaliknya mahu berdiri sebaris pemain industri besar.
Melalui jaringan komuniti bisnes, wanita berusia 37 tahun itu kini semakin terdedah dengan dunia korporat lebih luas. Malah, dia sendiri terkejut apabila jenamanya yang masih baharu berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 50 dan Top 20 bagi beberapa pengiktirafan industri.
Sebagai pembuka tirai 2026, Memey menerusi jenama Normey turut meraih Inspirational Icon Award 2025 menerusi Key Leaders Awards 2026 anjuran Richworks, satu simbolik kepada transisi besarnya daripada dunia seni ke dunia perniagaan.
Anugerah tersebut disampaikan dalam Majlis Titan Business Leadership Award 2026 anjuran Richworks Consulting Group Sdn Bhd (RCG) yang mengiktiraf pelbagai kategori usahawan berdasarkan pertumbuhan jualan, kepimpinan strategik dan impak ekonomi melibatkan perniagaan.
Perjalanan Memey mungkin masih panjang, namun satu perkara pasti, dia kini bukan sekadar figura hiburan, tetapi wanita yang sedang tekun membina legasi bisnesnya dengan cara tersendiri.