PENYANYI popular, Wany Hasrita mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada program bual bicara Ramadan, Borak Dulu Baru Buka selepas lima musim bersiaran.
Keputusan tersebut dikongsikan sendiri oleh pemilik nama Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerusi Instagram miliknya, sekali gus menutup satu perjalanan indah yang telah menjadi sebahagian daripada rutin Ramadan dirinya sejak beberapa tahun lalu.
Untuk rekod, pelantun lagu Menahan Rindu itu merupakan antara hos tetap program yang disiarkan di TV1 setiap kali menjelang waktu berbuka sepanjang bulan puasa.
Menurut Wany, tahun ini memberi makna yang berbeza buat dirinya.
"Alhamdulillah ala kulli hal, insya- ALLAH setiap aturan ALLAH itu pasti ada baiknya.
"Terima kasih pada abang-abang saya @amin_idris @kei_ramoss @firlanymalik untuk lima tahun yang sangat manis. Yang pasti, tahun ni saya buka dulu baru borak.
"Selamat berpuasa semua, minta maaf salah silap kurang dari saya," titipnya penuh makna.
Luahan tersebut menggambarkan betapa besar makna kebersamaan keluarga buat dirinya ketika ini, lebih-lebih lagi selepas bergelar ibu.
Fokus kepada keluarga
Berkongsi lanjut, anak jati Kuala Lumpur berkenaan mengakui keputusan meninggalkan program berkenaan bukan sesuatu yang mudah.
“Sedih juga tinggalkan team itu, tapi saya rasa sudah lima tahun bersama.
"Daripada ketika anak dara, berkahwin dan sudah ada anak, sekarang jadi mak orang.
“Maka, pengunduran saya lebih kepada mutual understanding. Ini masa untuk saya beri fokus kepada keluarga pula,” ujarnya jujur.
Perjalanan lima musim itu bukan sekadar pengalaman mengacara, tetapi turut menjadi saksi fasa kehidupan yang dilalui, daripada bujang, bergelar isteri hinggalah ibu kepada seorang cahaya mata perempuan.
Dalam perkembangan sama, tempat Wany bagi musim keenam program tersebut bakal diisi oleh pengacara versatil, Nana Mahazan.
Walau tidak lagi bersiaran di kaca televisyen setiap petang Ramadan, peminat pastinya memahami bahawa pilihan yang dibuat Wany adalah tentang menghargai momen yang tidak boleh diulang, masa bersama insan tersayang.