PELAKON dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim bersama isteri tersayang, Datin Lisa Surihani, baru-baru ini menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-14.
Berbeza dengan sambutan mewah atau makan malam romantik yang sering dilihat, pasangan tersebut memilih cara lebih sederhana tetapi penuh makna.
Dalam hantaran terbaharu di Instagram, Yusry berkongsi momen ulang tahun mereka yang diisi dengan sahur dan iftar bersama, sambil mengambil ruang kecil untuk muhasabah diri dan mensyukuri nikmat rumah tangga yang dikurniakan ALLAH SWT.
“Dengan izin-NYA, ulang tahun ke-14 kami tahun ini kelihatan sedikit berbeza.
"Kami sahur dan iftar bersama, mencari momen tenang untuk refleksi dan kesyukuran di celah ibadah.
"Semoga Allah menerima amalan kita semua,” tulis Yusry, yang juga anggota kumpulan KRU.
Pada masa sama, beliau turut menitipkan doa agar rumah tangga mereka terus menjadi sumber sakinah, dilimpahi keberkatan dan dikuatkan ikatan jiwanya sepanjang Ramadan.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengungkapkan doa agar perkahwinan mereka terus menjadi tempat ketenangan dan sentiasa dilimpahi rahmat oleh Yang Masa Esa.
“Doa kami sempena ulang tahun perkahwinan pada tahun ini adalah agar perkahwinan kami terus menjadi sumber ketenangan (sakinah) dalam hati kami, sentiasa dilimpahi keberkatan-NYA serta semoga bulan suci ini menguatkan jiwa kami sebagaimana ia turut menguatkan ikatan antara kami.
"Hingga ke Jannah inya-ALLAH, sayang, Selamat hari kita,” titipnya lagi.
Perkongsian berkenaan mengundang reaksi hangat warganet yang tersentuh dengan cara pasangan ini meraikan hari istimewa tanpa kemewahan.
Rata-rata mendoakan rumah tangga mereka kekal bahagia dan menjadi inspirasi kepada pasangan Muslim lain dalam mengekalkan cinta berpaksikan iman.
Beberapa komen yang mencuri perhatian termasuk:
“Selamat ulang tahun perkahwinan buat Datuk Yusry dan Datin Lisa. Semoga terus menjadi pasangan yang saling melengkapi dan membahagiakan hingga ke syurga.”
“Cepat masa berlalu! Happy 14th Anniversary lovebirds!! I LOVE U both!”
“Cantiknya, tahniah kedua-dua pasangan, moga cinta hingga Jannah.”
“Bahagia selalu dalam rahmat-NYA Lisa dan Yusry”
Untuk rekod, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2012.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, iaitu Yahaira Leanne, Yusof Leonne, dan Yunos Laith.
Kesederhanaan sambutan mereka mengingatkan bahawa bahagia dalam rumah tangga tidak semestinya datang dari kemewahan, tetapi dari keikhlasan, syukur, dan cinta yang berpandu iman.