KHABAR duka menyelubungi dunia seni tanah air apabila penyanyi terkenal, Datin Alyah, berkongsi berita pemergian abangnya, Amran Abu Hasan pada 2 Syawal.
Menurut Alyah, kehilangan amat dirasai sementelah arwah banyak berjasa dalam hidupnya. Bukan sekadar pertalian darah, arwah insan yang pernah bersama-sama berjuang mencari rezeki.
"Aku kehilangan seorang lagi abang yang pernah bekerja bersama, membawa saya pergi menyanyi mencari rezeki ke sana sini.
Pemilik nama Noor Hasliah Abu Hasan juga tidak menyangka keterujaan untuk berkumpul dengan keluarga tercinta menjadi petunjuk akan kehilangan abangnya. Kesempatan yang memberi peluang untuknya bermaafan dan bertemu buat kali terakhir.
"Tahun ni perasaan tidak dapat digambarkan. Dalam fikiran dan keinginan aku ialah nak siapkan rumah emak untuk adik-beradik berkumpul dan tak terasa nak berbaju raya lawa-lawa.
"Entahlah mungkin itu petanda yang aku tidak mampu nilai dan dalam sudut hati yang paling dalam sangat ingin berjumpa arwah pagi Syawal tahun ini.
"Alhamdulillah, aku dapat jumpanya buat kali terakhir pada sehari sebelum raya, tetapi dalam keadaan dia tenat menunggu masa ditidurkan. Kami sempat bermaafan dan aku cakap dengan dia "Ija sayang Abang chik, Ija tunggu Abang Chik. Sedar ya". Dan itulah terakhir kalinya," luah Alyah.
Dalam hantaran yang sama, Alyah mengenang arwah bapa dan dua abang yang sudah pergi selamanya di samping mendoakan kesejahteraan.
"Ya ALLAH dua abang aku sudah pergi dan aku tidak tahu lagi lepas ini siapa? Mungkin aku dan hanya KAU Maha Mengetahui segalanya.
"Ya ALLAH peluklah abang-abang dan bapaku di sana. Semoga mereka tenang serta berada dalam rahmat-MU," kongsinya.
Terdahulu, pelantun Sesal Separuh Nyawa itu berkongsi berita Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Sumber: Instagram alyah81