KALAU sebut nama Amir Raja Lawak, pasti ramai yang terbayang wajah cerianya yang sering menghiburkan kita. Namun di sebalik gelak tawa itu, dia yang cukup sinonim, dengan tagline 'I'm sorry' sebenarnya seorang yang sangat kental dan cukup praktikal dalam menjalani survival hidup.
Baru-baru ini, pemilik nama Mohammad Amirullah Azmi itu berkongsi satu teguran jujur yang sebenarnya sangat 'makan dalam' dan menusuk kalbu buat kita semua.
Kata Amir, dalam hidup ini biarlah kita penat macam mana sekalipun mencari rezeki, asalkan jangan terlalu mudah menadah tangan meminta-minta tanpa ada sedikit pun usaha untuk mengubah nasib sendiri.
Bagi Amir, maruah diri itu mahal harganya dan dia sendiri tidak pernah rasa malu untuk melakukan apa sahaja kerja demi mencari pendapatan sampingan.
Anak kelahiran Kota Bahru, kelantan itu membuktikan prinsip tersebut dengan menjual barangan terpakai ke pusat besi buruk, satu pekerjaan yang mungkin dianggap lekeh oleh sesetengah orang, namun baginya itulah kepuasan sebenar hasil titik peluh sendiri.
"Jalan kaki pun boleh, bawak kereta sorong ke. Tak kan lah malu cari rezeki cara macam ni, tapi tak segan inbox orang lain mintak sumbangan nak beli susu anak sebab laki tak boleh pergi kerja motor rosak,” katanya.
Teguran Amir ini sangat relevan dengan realiti sekarang apabila ramai yang lebih suka menghantar mesej peribadi di media sosial untuk meminta bantuan berbanding keluar mencari peluang yang ada di depan mata.
Walaupun pelakon itu sedar setiap orang mempunyai ujian yang berbeza, namun rasa malu untuk bekerja bawahan tidak sepatutnya mengatasi rasa segan ketika meminta-minta daripada orang lain.
"Saya yang orang kenal ni pun niaga air jagung tepi jalan juga,” luahnya lagi.
Perkongsian ikhlas itu ternyata meraih perhatian ramai dan rata-rata netizen memberikan sokongan padu kepada pelawak tersebut.
Ramai yang bersetuju dengan prinsipnya dan menyifatkan Amir sebagai contoh terbaik untuk anak muda hari ini agar tidak memilih kerja.
“Bagus kuat kerja Amir Raja Lawak! Semoga jadi motivasi untuk anak-anak muda cari rezeki halal dan berkat,” puji salah seorang netizen.
Malah, ada juga yang menyokong penuh tindakan Amir yang menegur sikap gemar meminta sumbangan tanpa usaha.
“Betul tu, cari duit halal, jangan nak mintak sumbangan je. Banyak kerja atas bumi ALLAH ini. Padu, terbaik bossku! Semoga ALLAH Taala mempermudahkan segala urusan rezeki kamu Che Amir, semoga sihat sejahtera, Insya-ALLAH,” antara komen positif yang ditinggalkan di ruangan hantaran tersebut.
Apa yang cuba disampaikan Amir sebenarnya cukup ringkas; selagi tulang empat kerat masih mampu bergerak, carilah jalan selagi ada peluang.
Malu itu biarlah bertempat, kerana usaha yang kecil sekalipun tetap akan dipandang mulia berbanding hanya menunggu bantuan jatuh dari langit.