SIAPA kata kain batik hanya sesuai dipakai untuk duduk di rumah atau ke majlis kenduri kahwin sahaja? Tanggapan itu nampaknya sudah jauh ketinggalan zaman.
Hari ini, helaian warisan turun-temurun itu telah diangkat menjadi satu komponen fesyen yang cukup versatil, mewah dan sangat stailo untuk wanita moden.
Bayangkan keanggunan sepasang kain batik yang digayakan bersahaja untuk minum petang bersama rakan-rakan, atau disuai padan secara elegan ke pejabat dan majlis makan malam yang eksklusif. Aura yang dibawakan pastinya memukau pandangan.
Menyedari pesona luar biasa ini, jenama fesyen tempatan terkenal, Kapten Batik, mengorak langkah berani dengan melancarkan koleksi pakaian wanita edisi terhad pertamanya yang dinamakan Princess Collection.
Apa yang lebih menarik, koleksi istimewa ini dihasilkan menerusi kolaborasi eksklusif bersama kerabat diraja Selangor yang sememangnya terkenal dengan cita rasa fesyen yang tinggi dan jiwa kemanusiaan yang murni iaitu Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Membawa semangat keanggunan harian untuk wanita biasa, koleksi ini menterjemahkan semula motif klasikal batik melalui lensa kontemporari yang lebih segar.
Direka khusus untuk meraikan sifat kewanitaan, kekuatan dalaman dan ketenangan, koleksi gabungan ukiran tangan dan batik cop itu menampilkan lima helaian seni ukiran tangan yang sangat memukau, merangkumi tiga helai kain pareo batik dan dua helai skirt sarung batik.
Pengenalan koleksi ini mencerminkan hala tuju Kapten Batik yang lebih lembut dan intim, yang mana nilai warisan disatukan secara harmoni dengan pesona moden.
Tengku Zatashah sendiri terlibat secara langsung bersama pasukan kreatif Kapten Batik dalam setiap aspek pembuatan, bermula daripada pembentukan konsep awal, rekaan corak, pemilihan perincian halus, sehinggalah kepada mesej dan matlamat utama koleksi ini dihasilkan.
Hasilnya, lahirlah sebuah karya seni tekstil yang abadi dan fleksibel, sesuai untuk wanita yang mahukan gaya bersahaja di siang hari mahupun penampilan anggun pada waktu malam.
Setiap rekaan dalam koleksi ini membawa simbolik unik yang diinspirasikan daripada personaliti dan intipati diri Tengku Zatashah sendiri.
Antara rekaan yang menjadi tumpuan utama ialah Dragon in Clouds yang menterjemahkan keseimbangan antara kuasa dan ketenangan menerusi pergerakan garisan berlapis dan peralihan warna yang lembut. Motif ini hadir dalam beberapa pilihan memikat seperti Sarong Dragon In Clouds (Teel Mint), Pario Dragon In Clouds (Lilac Teal) dan Pario Dragon In Clouds (Pink Jade).
Selain itu, motif Botanika pula melambangkan pertumbuhan dan sifat kewanitaan dengan menterjemahkan bentuk organik alam semula jadi ke dalam komposisi visual yang cukup halus menerusi helaian Pario Botanika (Sky Blue) dan Sarong Botanika (Navy Pink).
Sumbangan hasil jualan
Kesemua motif ini bergabung membentuk satu naratif wanita moden yang cekal namun tetap kelihatan anggun tanpa perlu berusaha keras.
Lebih menyentuh hati, Princess Collection bukan sekadar sebuah ekspresi seni dan fesyen semata-mata, malah ia merupakan satu inisiatif murni yang penuh bermakna.
Sebahagian daripada hasil jualan koleksi ini akan disumbangkan terus kepada Make-A-Wish Malaysia, sebuah organisasi kebajikan yang amat dekat di hati Tengku Zatashah bagi merealisasikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.
Menurut Tengku Zatashah, baginda mahu koleksi ini meraikan wanita moden yang dinamik, ceria dan berdaya maju, di mana mereka bukan sahaja prihatin terhadap keluarga dan rakan-rakan, malah sentiasa yakin dengan identiti diri sendiri.
Sambil berfesyen, para pembeli juga sebenarnya berpeluang menyebarkan kasih sayang dan melakukan kebaikan kepada golongan yang memerlukan.
Pelancaran ini sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kapten Batik, yang diasaskan oleh Ekram Faiz dan Farhan Omar, dalam memperluaskan segmen pakaian wanita mereka.
Ketua Kreatif Kapten Batik, Fadli Muhsin menyatakan bahawa Tengku Zatashah merupakan satu-satunya ikon yang terlintas di fikiran mereka untuk kolaborasi ini kerana baginda sering dilihat menggayakan skirt batik dan pareo dengan begitu bersahaja dalam pelbagai acara.
Dilancarkan secara eksklusif di Butik Utama Kapten Batik di The Gardens Mall, koleksi edisi terhad ini bukan sekadar trend pakaian, tetapi satu penghargaan mendalam terhadap kualiti pembuatan seni warisan yang melangkaui batas waktu.