BERITA gembira buat seluruh rakyat Malaysia! Selepas ini, kita tidak perlu lagi pusing satu bandar semata-mata nak cari mesin ATM yang sama dengan kad bank kita.
Mulai 1 Julai 2026, semua pelanggan bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana Mesin Teler Automatik (ATM) atau Mesin Kitar Semula Pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 tanpa mengira bank penerbit mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.
Tiga persatuan industri perkhidmatan kewangan iaitu Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam kenyataan memaklumkan inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan mudah diakses, inklusif serta mampu milik bagi semua pelanggannya.
“Industri perbankan mengakui bahawa wang tunai kekal sebagai cara pembayaran yang penting dan satu keperluan bagi kebanyakan rakyat Malaysia dalam menguruskan kehidupan seharian mereka.
“Sejajar dengan ini, penghapusan yuran pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, selain membantu meringankan beban kewangan harian rakyat,” tambah mereka.
Oleh itu, pemansuhan caj RM1 interbank ini diharapkan dapat membantu meringankan sedikit sebanyak beban kewangan. Lepas ni, nampak mana-mana ATM, singgah dan cucuk jer tanpa ragu-ragu!
Sumber: Bernama