PEJAM celik, pejam celik, rupa-rupanya sudah 18 tahun usahawan kontroversi dan popular, Datuk Seri Aliff Syukri memegang status sebagai seorang bapa.
Meraikan hari lahir anaknya, Ammar Ahyan, baru-baru ini, jutawan kosmetik itu sempat berkongsi rasa hati yang cukup menyentuh emosi tentang indahnya fasa keibubapaan yang dilaluinya.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri bin Kamarzaman secara terbuka mengimbau kembali kenangan lalu dan mengakui bahawa pada awal kelahiran anak sulungnya itu, beliau sebenarnya diselubungi rasa hiba dan tidak bersedia kerana faktor usia yang masih terlalu muda.
"Bila dia dah besar macam ni, saya rasa… betul ke saya dah tua dan dia dah umur 18 tahun? Cepat masa berlalu," luahnya jujur.
Melihat anak lelaki pertamanya itu kini sudah melangkah ke alam dewasa, Aliff menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas pinjaman rezeki dan peluang yang diberikan untuk membesarkan zuriatnya dengan penuh kasih sayang.
Bagi Aliff, walaupun masa berputar dengan begitu pantas, setiap detik membesarkan anak-anak adalah fasa paling bermakna dan paling indah dalam hidupnya sebagai seorang lelaki. Beliau juga menitipkan doa setinggi langit agar Ammar berjaya bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.
"Cepat masa berlalu, Ammar Ahyan dah besar dah sekarang, moment menjadi abah adalah moment paling terindah.
"Terima kasih dah bagi abah chance untuk menjadi seorang abah untuk Amayan dan adik-adik," tulisnya penuh penghargaan dalam satu hantaran di media sosial miliknya.