'Selamat hari bapa sayang!' – Fadhlina Sidek kongsi sisi penyayang suami, tegas agama tapi manja dengan anak

Iklan

SAMBUTAN Hari Bapa pastinya meninggalkan seribu satu memori manis buat setiap keluarga, namun perkongsian daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, benar-benar menyentuh hati netizen.

Menerusi luahan ikhlas sempena meraikan hari istimewa tersebut, beliau menitipkan ucapan penghargaan yang cukup mendalam buat suami tercinta, menyifatkan lelaki itu sebagai tonggak utama dalam membesarkan cahaya mata mereka dengan penuh kasih sayang.

Iklan
Iklan

"Selamat Hari Bapa sayang! Saya tidak dapat membayangkan kehidupan anak-anak saya tanpa bapa mereka.

"Setiap kali bapa mereka berjuang untuk hak mereka, ia adalah perjuangan kasih sayang," kongsinya memulakan bicara penuh penghargaan.

Iklan

Menurut Fadhlina, suaminya merupakan seorang bapa yang sangat tegas dalam hal berkaitan agama, namun pada masa yang sama, mempunyai kelembutan yang luar biasa dalam menyantuni anak-anak sehingga setiap urusan membesarkan keluarga dianggap sebagai satu ibadah yang dituntut.

Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai pengorbanan suaminya, Fadhlina mendedahkan bagaimana lelaki itu sentiasa menjadi sistem sokongan paling kuat buat anak-anak terutamanya ketika musim peperiksaan.

Iklan

"Setiap kali anak-anak di medan peperiksaan, bapa merekalah yang menunggu dan berulang alik ke asrama. Bapa merekalah juga yang membaca yaasin pagi dan petang, bapa mereka jugalah yang hadir semua pertemuan dengan guru.

"Bapa mereka jugalah yang melakukan murajaah setiap selepas waktu solat untuk memastikan anak selesai menghafaz seluruh Al-Quran," katanya.

Malah, andai ada dalam kalangan anak mereka yang jatuh sakit atau berduka, suaminya jugalah yang akan ligat mencari jalan dan ikhtiar sehingga senyuman kembali terukir di wajah anak-anak.

Sebagai seorang ibu dan juga pemimpin, Fadhlina sangat mengagumi kelantangan suaminya dalam mempertahankan hak pendidikan anak-anak, terutamanya buat anak perempuan mereka.

Suaminya amat percaya bahawa anak perempuan merupakan aset berharga kepada bangsa dan negara yang perlu diangkat martabatnya menerusi pendidikan yang sempurna tanpa sebarang diskriminasi.

Tegasnya, anak-anak yang membesar dengan melihat perjuangan seorang bapa secara tidak langsung akan menemui figura contoh terbaik dalam hidup mereka tanpa perlu tercari-cari idola lain di luar sana atau di alam maya.

Melalui teladan mulia yang ditunjukkan di dalam rumah tangga, anak-anak belajar memahami erti hormat dan penghargaan sebenar kerana jiwa mereka sentiasa dipeluk erat oleh seorang lelaki yang bergelar bapa.

Menutup bicara romantis dan penuh inspirasi itu, Fadhlina menyimpulkan bahawa bapa adalah segala-galanya, seorang pejuang dan pahlawan yang memberikan rasa selamat dan perlindungan mutlak.

"Terima kasih buat semua bapa yang sentiasa kasih dan berjuang untuk anak-anak.

"Selamat Hari Bapa!" ujarnya mengakhiri titipan penuh bermakna tersebut.