DARIPADA dijadikan sisa pertanian, siapa sangka batang pisang kini boleh diberi nilai baharu dalam dunia fesyen.
Dalam era yang menyaksikan semakin ramai pengguna lebih peka terhadap isu kelestarian, pelbagai inovasi menarik mula diperkenalkan termasuk dalam industri kasut tempatan.
Menggabungkan elemen gaya, keselesaan dan pendekatan lebih mesra alam, jenama kasut tempatan IJMAL tampil dengan satu lagi pembaharuan menerusi koleksi terbaharu mereka, Nala Nana yang menampilkan penggunaan serat pisang sebagai sebahagian daripada bahan pembuatannya.
Menariknya, koleksi tersebut dikatakan antara yang terawal di Malaysia menggunakan material berasaskan serat pisang dalam penghasilan kasut, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkenalkan alternatif yang lebih lestari kepada pengguna.
Diasaskan oleh pasangan suami isteri, Burhanudin Yusof dan Faratihah Ibrahim, IJMAL yang kini memasuki tahun ke-11 penubuhannya terus memberi fokus kepada penghasilan kasut yang mengutamakan keselesaan dan kualiti tanpa mengetepikan elemen inovasi.
Bermula sebagai jenama tempatan yang memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia, IJMAL kini mempunyai empat cawangan di Puchong, Bangi, Setia Alam dan Johor Bahru.
Pengenalan koleksi Nala Nana dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha jenama itu dalam meneroka penggunaan bahan alternatif. Sebelum ini, IJMAL turut memperkenalkan kasut yang menggunakan fiber nanas menerusi inisiatif kelestarian tahunan mereka, REIJMAL.
Menurut Burhanudin, pembangunan koleksi berkenaan membuktikan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan yang mempunyai potensi untuk berkembang lebih jauh.
“Sepanjang 11 tahun perjalanan IJMAL, kami sentiasa percaya bahawa inovasi dan keselesaan boleh bergerak seiring.
“Nala Nana bukan sekadar koleksi baharu, malah menjadi simbol bagaimana bahan yang sering dianggap sebagai sisa pertanian mampu diberi nafas baharu melalui penyelidikan dan inovasi.
“Kami berharap usaha ini dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat tempatan untuk meneroka penggunaan bahan alternatif dalam produk mereka,” katanya.
Pembangunan kasut berasaskan serat pisang itu merupakan hasil kerjasama penyelidikan antara Bambusoideae Technology Sdn Bhd dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Kolaborasi tersebut turut memperlihatkan bagaimana kerjasama antara institusi pendidikan dan pihak industri boleh menghasilkan inovasi tempatan yang berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Faratihah menjelaskan penggunaan material alternatif tidak bermakna aspek keselesaan diketepikan.
“Kami mahu membuktikan bahawa kasut mesra alam tidak semestinya mengorbankan keselesaan. Setiap rekaan yang dihasilkan sentiasa berpaksikan pengalaman pengguna.
“Walaupun menggunakan serat pisang sebagai sebahagian daripada bahan pembuatannya, standard keselesaan yang menjadi identiti IJMAL tetap dikekalkan supaya sesuai dipakai dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Dilancarkan pada 25 Jun 2026, koleksi Nala Nana hadir dengan sentuhan moden dan elegan serta dihasilkan dalam kuantiti terhad sebagai edisi eksklusif.
Direka untuk kegunaan harian, koleksi berkenaan menepati keperluan gaya hidup masa kini yang semakin mengutamakan keseimbangan antara fungsi, keselesaan dan kesedaran terhadap alam sekitar.
Sebagai jenama yang menawarkan pelbagai pilihan kasut untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, IJMAL dilihat terus memperluaskan pendekatan mereka dengan menggabungkan inovasi bahan serta rekaan yang praktikal untuk seisi keluarga.
Lebih daripada sekadar menghasilkan kasut, langkah memperkenalkan Nala Nana memperlihatkan bagaimana idea kreatif dan penyelidikan tempatan mampu membuka ruang kepada inovasi yang lebih lestari dalam industri fesyen negara.