Asyik duduk lama? Ini punca sakit lutut & belakang ramai tak sedar

Iklan

RAMAI antara kita menghabiskan sebahagian besar masa dengan duduk sama ada di pejabat, memandu atau meluangkan masa di hadapan skrin.

Tanpa disedari, rutin harian yang kelihatan biasa itu sebenarnya boleh memberi kesan kepada kesihatan tubuh, khususnya melibatkan lutut, tulang belakang dan postur badan.

Iklan
Iklan

Menurut pengasas MMW Bone Alignment Centre, Dr Max Wong, gaya hidup moden yang kurang bergerak menjadi antara faktor utama peningkatan masalah sakit belakang, sakit pinggang dan sakit lutut dalam kalangan masyarakat hari ini.

Katanya, ramai hanya mendapatkan rawatan apabila kesakitan menjadi semakin serius, sedangkan tubuh sebenarnya sudah lama memberi isyarat bahawa terdapat ketidakseimbangan pada struktur badan.

Iklan

"Ramai tidak sedar kesakitan yang dialami bukan semestinya berpunca daripada bahagian yang sakit. Ia boleh berlaku akibat tekanan berpanjangan pada keseluruhan struktur tubuh yang tidak seimbang," katanya.

Beliau menjelaskan, apabila seseorang terlalu lama duduk, kurang melakukan aktiviti fizikal atau mempunyai postur yang tidak betul, tekanan akan tertumpu pada bahagian tertentu sehingga menyebabkan sendi dan otot bekerja lebih keras daripada sepatutnya.

Iklan

Keadaan itu, jika berlarutan, bukan sahaja menyebabkan kesakitan kronik, malah boleh menjejaskan pergerakan serta meningkatkan risiko degenerasi sendi.

Disebabkan itu, Dr Wong menekankan kepentingan melihat tubuh secara menyeluruh dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada kawasan yang mengalami kesakitan.

Sebagai contoh, sakit lutut tidak semestinya berpunca daripada lutut. Dalam sesetengah keadaan, ia mungkin berkait rapat dengan kedudukan pinggul, tulang belakang, cara berjalan atau keseimbangan keseluruhan badan.

"Jika hanya merawat bahagian yang sakit tanpa mengenal pasti punca sebenar, rasa lega yang diperoleh mungkin hanya bersifat sementara," ujarnya.

Atas prinsip itu, beliau memperkenalkan MMW Method, iaitu pendekatan pelarasan struktur badan tanpa pembedahan yang menggabungkan pemahaman biomekanik, seni bela diri dan pengetahuan tradisional mengenai pelarasan tulang.

Namun, beliau menjelaskan bahawa kaedah tersebut bukanlah urutan biasa atau teknik pelarasan yang dilakukan secara kasar sehingga memaksa tubuh berubah secara mendadak.

Sebaliknya, pendekatan yang digunakan lebih menitikberatkan keseimbangan struktur, fungsi tubuh dan pergerakan secara berperingkat mengikut keadaan setiap individu.

Tahap ketidakseimbangan

Sebelum sebarang pelarasan dilakukan, setiap pelanggan akan menjalani pemeriksaan dan penilaian tubuh bagi mengenal pasti corak pergerakan serta tahap ketidakseimbangan yang dialami.

Menurut Dr Wong, proses penilaian itu penting kerana setiap individu mempunyai sejarah kesihatan, tahap kecergasan dan keadaan struktur badan yang berbeza.

"Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan. Setiap pelarasan dilakukan secara terkawal tanpa memaksa tubuh bergerak melebihi kemampuannya," katanya.

Beliau berkata, apabila struktur badan kembali lebih seimbang, sesetengah individu mendapati mereka dapat bergerak dengan lebih selesa, tekanan pada sendi berkurangan dan keyakinan untuk menjalani aktiviti harian juga semakin meningkat.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pendekatan tersebut bukan bertujuan menggantikan rawatan perubatan konvensional atau pembedahan.

Sebaliknya, ia ditawarkan sebagai salah satu pilihan pelengkap bagi individu yang ingin memperbaiki postur, keseimbangan struktur dan fungsi tubuh melalui kaedah tanpa pembedahan.

Apa yang lebih penting, katanya, masyarakat perlu mula memberi perhatian terhadap kesihatan postur dan tidak menunggu sehingga kesakitan menjadi kronik.

"Tubuh sentiasa memberi isyarat. Jika kita memahami puncanya lebih awal dan mengambil langkah yang sesuai, peluang untuk mengekalkan kualiti pergerakan serta menjalani kehidupan yang lebih aktif juga akan menjadi lebih baik," katanya.