RAMAI mengenali Ahmad Fedtri Yahya sebagai personaliti televisyen dan wartawan yang gemar membawa penonton menyelami sisi budaya, sejarah dan masyarakat.
Namun, di sebalik penghasilan dokumentari mengenai teromba, beliau sendiri mengakui menerima satu pengalaman yang membuka mata tentang khazanah warisan yang semakin asing dalam kalangan generasi muda.
Lebih mengejutkan, masih ramai anak muda hari ini tidak mengetahui kewujudan teromba, apatah lagi memahami keindahan bahasa serta falsafah yang terkandung di dalamnya. Sedangkan setiap bait yang dilagukan bukan sekadar susunan kata yang indah, tetapi sarat dengan nasihat, nilai kehidupan dan kebijaksanaan orang Melayu terdahulu.
Teromba merupakan susunan undang-undang adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Ia lahir daripada budaya masyarakat Melayu Minangkabau di Negeri Sembilan yang berpegang teguh kepada Adat Perpatih. Keistimewaannya terletak pada cara masyarakat dahulu menyampaikan teguran dan pengajaran secara berlapik, penuh kiasan tetapi begitu mendalam maknanya.
Antara ungkapan yang paling memikat ialah,"Penakik pisau si raut, ambil galah batang lintabung, selodang jadikan nyiru, air nan setitik jadikan laut, tanah nan sekepal jadikan gunung, alam terkembang jadikan guru." Pepatah Minang itu membawa maksud manusia perlu sentiasa belajar daripada alam sekeliling sebagai panduan menjalani kehidupan.
Menurut Fedtri, sepanjang penggambaran dokumentari tersebut, beliau bukan sahaja mengenali keindahan teromba, malah memahami mengapa warisan ini perlu terus dipelihara. Setiap rangkap mempunyai makna yang dekat dengan kehidupan seharian, daripada adab menghormati orang lain sehinggalah cara membentuk masyarakat yang berakhlak.
Amanah meneruskan legasi
Di sebalik usaha mengangkat semula warisan itu, berdiri dua beradik yang meneruskan perjuangan Allahyarham Profesor Madya Dr Mohd Rosli Saludin atau lebih dikenali sebagai Raja Teromba.
Tokoh budaya yang meninggal dunia pada 4 April 2024 itu meninggalkan bukan sahaja himpunan karya, tetapi juga amanah besar kepada anak-anaknya untuk memastikan teromba tidak lenyap ditelan zaman.
Muhammad Hafiz Fardillah Mohd Rosli mengimbau bagaimana dirinya mengikuti bapanya sejak berusia sembilan tahun. Dia sentiasa menemani Allahyarham ke mana sahaja, sama ada membaca teromba, menyampaikan puisi mahupun menghadiri ceramah.
"Ayah suka sesuatu yang unik. Saya ikut dia membaca teromba, malah guna baldi dan periuk pun pernah dijadikan alat mengiringi persembahan," kongsinya.
Adiknya, Noor Hidayyah Murni Mohd Rosli pula masih terkenang pesanan terakhir bapanya yang sering mengulang perkataan,"Baco! Baco!"
Ketika itu, dia menganggap pesanan tersebut sekadar galakan untuk membaca. Namun selepas pemergian Allahyarham, barulah dirinya memahami akan kata-kata itu sebenarnya amanah supaya ilmu terus diwariskan.
Kesedihan kehilangan insan tersayang bertukar menjadi kekuatan untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan. Mereka kini aktif memperkenalkan teromba kepada masyarakat, khususnya golongan muda agar warisan itu tidak sekadar tersimpan dalam helaian buku lama.
Keindahan itu turut terserlah ketika Hafiz mengajar sekumpulan kanak-kanak membaca teromba. Mereka bukan sekadar belajar melafazkan bait-bait puisi, malah dididik mengenai adab kehidupan.
"Yang tua didahulukan. Yang muda beriring belakang. Air seteguk penghilang dahaga. Makan kita bersama membawa berkat."
Nasihat ringkas itu mengajar nilai hormat, kesederhanaan dan kebersamaan yang semakin penting dalam kehidupan hari ini.
Hidayyah pula menjelaskan bahawa teromba sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan seharian.
Antara ungkapan yang sering dipegang adalah"Tau nan kocik kek nan godang, tau nan godang kek nan tuo, tau nan tuo kek nan lamo-lamo." Maksudnya, yang muda perlu menghormati orang lebih tua, yang dewasa menghargai golongan berusia, manakala mereka yang lebih tua pula terus menghormati pengalaman generasi terdahulu.
Warisan yang perlu terus hidup
Perjalanan dokumentari itu turut membawa Fedtri ke Padang, Indonesia, tempat teromba dikenali sebagai tambo. Di sana, warisan tersebut masih dipersembahkan dalam majlis perkahwinan tradisional menerusi alunan puisi yang menyambut ketibaan pengantin.
Fedtri menyifatkan pengalaman menghasilkan dokumentari tersebut sebagai satu perjalanan yang mengajarnya bahawa warisan tidak akan terus hidup jika sekadar dikenang. Ia perlu dipelajari, diamalkan dan dipindahkan kepada generasi seterusnya.
Hakikatnya, masih ramai anak muda hari ini tidak mengenali teromba. Sedangkan di sebalik susunan kata yang berirama, tersimpan panduan hidup yang kekal relevan sepanjang zaman.