TIADA yang lebih menyentuh hati seorang ibu melainkan momen melihat anak yang dikasihi melangkah setapak lagi ke hadapan demi mengejar cita-cita.
Perasaan sebak dan hiba ini dikongsikan oleh penyanyi kumpulan Elite, Linda Rafar, yang tidak dapat menyembunyikan perasaannya selepas terpaksa berpisah dengan anak lelakinya, Syed Rezaqiib Syed Kamaruzaman Al-Yahya yang mendaftar masuk sebagai penuntut Universiti Malaya
Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Linda mendedahkan coretan hati yang cukup mendalam. Jelasnya, perasaan ‘emo’ itu mula dirasai beberapa hari sebelum hari pendaftaran lagi.
"Bismillahi masya-ALLAH. Mama sejak malam tadi, tak boleh berhenti menangis. Rasa macam baru semalam hantar tadika dan Tahun Satu. Tunggu Aqiib di sekolah hari-hari dan sampai dekat setahun setia tunggu masa waktu rehat," tulisnya mengimbas memori lalu.
Pemilik nama Azlinda binti Abdul Rafar itu juga berkongsi bahawa fasa yang dilaluinya itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui memandangkan mereka berdua tidak pernah berpisah.
"Ramai sahaja parents yang cakap, 'Aalaaa nanti cuti balik lah.' Tapi yang tak jaga anak sendiri ni lain ya. Rasa ini tidak boleh digambarkan. Bangun pagi tengok bilik kosong pun ma sudah sebak seorang-seorang," kongsinya.
Di penghujung coretan tersebut, ibu kepada lima cahaya mata itu turut menitipkan pesana paling bermakna buat anaknya sebagai bekalan menempuh kehidupan berdikari di kampus.
"Semoga Aqiib sentiasa ingat pengorbanan mama membesarkan Aqiib. Jangan lupa ALLAH SWT, itu paling penting dan mama always pray for you for the best in yourself life," titipnya lagi.
Sebelum melangkah megah ke menara gading, Syed Rezaqiib sebenarnya pernah mencuri perhatian netizen selepas meraih keputusan keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2025.
Sumber: Instagram