PENJAGAAN kesihatan bukan sekadar bergantung kepada rawatan di hospital, tetapi turut bermula dengan ilmu, pemakanan yang betul dan sokongan komuniti.
Berpegang kepada prinsip itu, UPM Holdings meneruskan usaha memperluaskan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti menerusi penganjuran Program Komuniti PRINCE Patients Care Day 2026 PUTRA Renourish di Putra Renal Intervention & Dialysis Centre (PRINCE).
Program tersebut hasil kerjasama strategik bersama pelajar Praktikum Profesional Dietetik Komuniti (Kumpulan B), Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ia menghimpunkan pesakit, penjaga, profesional kesihatan, warga akademik, pelajar dan rakan industri dalam satu platform yang memfokuskan kepada kesedaran mengenai penjagaan kesihatan buah pinggang serta kepentingan amalan pemakanan sihat.
Lebih daripada sekadar program komuniti, inisiatif berkenaan turut menjadi ruang perkongsian ilmu dan pengalaman yang menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan masyarakat, sekali gus menyemai budaya hidup lebih sihat.
PRINCE sendiri merupakan pusat dialisis yang diwujudkan menerusi kerjasama antara UPM Holdings dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia, dengan sokongan barisan pakar nefrologi berpengalaman dari HSAAS.
Sejak memulakan operasi pada Februari 2025, pusat itu menyediakan kemudahan rawatan yang lengkap termasuk 20 dialysis bays, bilik Peritoneal Dialysis (PD), bilik prosedur dan bilik konsultasi, selain kini memberi rawatan berterusan kepada kira-kira 36 pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, Shahrulnizam Md. Sharif berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen syarikat dalam mengukuhkan hubungan antara akademia, industri dan komuniti demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
"Melalui PRINCE, kami bukan sahaja menyediakan perkhidmatan dialisis berkualiti, malah membangunkan ekosistem yang menghubungkan kepakaran universiti, kecemerlangan perkhidmatan dan kerjasama strategik bagi menghasilkan impak sosial yang mampan.
"Kami komited untuk terus memperluaskan kerjasama dalam memperkasa akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti, di samping menyokong pembangunan bakat dan penyelidikan," katanya.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik disediakan menerusi inisiatif PUTRA Renourish, antaranya demonstrasi penyediaan makanan mesra pesakit dialisis, konsultasi pemakanan, ceramah pendidikan kesihatan, pemeriksaan kesihatan asas serta pameran interaktif.
Kesemua aktiviti itu dikendalikan oleh pelajar Praktikum Profesional Dietetik Komuniti (Kumpulan B), Jabatan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran secara langsung bersama komuniti.
Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemakanan dan gaya hidup sihat dalam pengurusan penyakit buah pinggang, malah memberi peluang kepada bakal pakar dietetik mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam situasi sebenar.
Usaha berkenaan turut mencerminkan komitmen UPM Holdings terhadap prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 3: Good Health and Well-being dan SDG 4: Quality Education yang menekankan aspek kesihatan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Selaras dengan aspirasi Harvesting Knowledge for a Better Future, UPM Holdings akan terus memperkukuh kerjasama strategik bagi menterjemahkan kepakaran Universiti Putra Malaysia kepada penyelesaian yang memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti, malah industri dan negara secara keseluruhan.