KEGEMBIRAAN jelas terpancar pada wajah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila berkongsi khabar gembira mengenai kehadiran orang baharu dalam keluarga besarnya.
Mana tidaknya, kehadiran seorang lagi cucu lelaki pastinya menambah lagi seri dan kemeriahan buat beliau dan isteri tercinta, Datin Seri Shamshida Taharin.
Menerusi perkongsian penuh kesyukuran itu, Azmin meluahkan rasa gembira apabila anak perempuannya, Farah Amira selamat melahirkan cahaya mata sulung baru-baru ini.
Kehadiran si kecil yang comel itu sekali gus melengkapkan lagi kebahagiaan mereka sekeluarga.
"Alhamdulillah syukur. Saya dan Shida dikurniakan seorang lagi cucu lelaki. Tepat jam 7.47 pagi ini, anak perempuan kami, Farah Amira melahirkan anak sulong," katanya yang memuat hantaran tersebut di media sosial miliknya.
Menjengah ke ruang perkongsian tersebut, Azmin turut menitipkan ucapan tahniah buat anakanda dan menantunya atas fasa baharu dalam hidup mereka.
Kehadiran waris baharu
Menariknya, kehadiran bayi comel yang diberi nama Wan Aslan Ali ini merupakan cucu yang kelapan buat pasangan ini.
"Tahniah Amira dan Hakim. Alhamdulillah ini adalah cucu ke 8 untuk kami; 6 lelaki dan 2 perempuan.
"Kami juga bersyukur kerana Amira dan bayi sulungnya, Wan Aslan Ali sihat walafiat," ujarnya lagi yang jelas lega melihat keadaan ibu dan anak berada dalam keadaan yang baik.
Bukan sahaja buat keluarga beliau, kegembiraan itu turut dikongsi bersama keluarga besan mereka yang juga teruja menyambut kehadiran waris baharu.
Azmin sempat memberi penghargaan dan ucapan tahniah kepada besannya, Datuk Sri Wan Zakariah Wan Muda dan Datin Sri Nurul Hayati Yahya yang kini menerima cucu keenam dalam keluarga mereka.
Pada masa sama, Azmin mengharapkan agar ikatan kekeluargaan mereka terus dilimpahi dengan keberkatan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.
Beliau menitipkan doa moga ALLAH SWT sentiasa memberkati keluarga besar mereka dan mengurniakan kebahagiaan yang berpanjangan buat semua.