'Terima kasih kerana menjaga diri...'– Kata-kata pelajar senior ini jadi asbab anak Ustazah Asma' Harun 'selamat' dari kontroversi konsert UM

Iklan

BARU-baru ini, tular di media sosial mengenai kontroversi sebuah konsert di universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM) yang diadakan sempena malam penutup Minggu Haluansiswa. 

Isu ini bukan sahaja hangat berdesup menjadi bualan netizen, malah turut mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun. 

Iklan
Iklan

Sebagai seorang ibu yang turut menghantar anaknya menyambung pengajian di sana, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan dan sedih melihat situasi tersebut. 

Luahan jujur beliau benar-benar mewakili suara hati ribuan ibu bapa di luar sana yang mengharapkan universiti menjadi tempat yang selamat untuk membentuk peribadi anak-anak.

Iklan

Melihat klip video anak-anak muda mula bangun, melompat, dan menyanyi dalam suasana percampuran lelaki dan perempuan tanpa kawalan, hati ibu mana yang tidak hancur. 

Iklan

"Universiti terbaik Malaysia, yang sangat besar namanya, kami hantar anak dengan harapan dan kepercayaan, bukan dengan kebimbangan seperti ini," luah Ustazah Asma' meluahkan rasa ralatnya. 

Bagi beliau, fasa orientasi sepatutnya menjadi waktu terbaik untuk menyemai benih adab, disiplin, dan cinta akan ilmu dalam jiwa mahasiswa baharu. 

Namun, apabila suasana bertukar menjadi seperti konsert hiburan melampau yang berlarutan melepasi jam 11 malam, beliau secara terbuka mempersoalkan pendekatan tersebut dengan bait kata yang cukup mendalam, “Beginikah anak-anak kami diperkenalkan kepada dunia universiti?"

Dipagut rasa bimbang yang amat sangat, Ustazah Asma' terus menghubungi anaknya yang turut berada dalam program tersebut untuk bertanyakan situasi sebenar. 

Sambil menahan pelbagai rasa di dada dan takut mendengar jawapan yang bakal diberikan, air mata seorang ibu akhirnya tumpah menitis ke pipi, tetapi kali ini adalah air mata kesyukuran. 

Si anak menceritakan bahawa apabila muzik mula semakin kuat dan keadaan menjadi tidak terkawal, dia mengambil keputusan untuk bangun dan melangkah keluar meninggalkan dewan. 

Mendengarkan kejujuran dan keberanian anaknya menjaga batas diri, Ustazah Asma' terus sebak dan mengulang-ulang ayat yang sama, “Terima kasih… terima kasih kerana menjaga diri… Alhamdulillah ya ALLAH."

Apa yang lebih menyentuh hati, keputusan drastik remaja berkenaan rupanya digerakkan oleh satu pesanan yang sangat luar biasa daripada seorang pelajar senior di situ. 

Si anak bercerita kepada ibunya, “Umi, ada senior yang berpesan, ‘Kalau kamu berada dalam program yang membuatkan hati kamu rasa tidak tenang atau tidak sesuai dengan nilai yang kamu pegang, jangan takut untuk beredar.’”

Kata-kata ringkas daripada senior misteri itulah yang menjadi asbab dan kekuatan untuk si anak berani mengambil jalan yang berbeza demi mempertahankan prinsip diri. 

Ustazah Asma' menitipkan rasa syukur dan berterima kasih yang tidak terhingga kepada pelajar senior tersebut yang disifatkannya telah melakukan sesuatu yang sangat hebat.

Melalui lensa gaya hidup keibubapaan hari ini, kontroversi ini sebenarnya memberi tamparan hebat tentang realiti lambakan hiburan di hujung jari generasi muda. 

Hakikatnya, anak-anak muda zaman sekarang tidak pernah kekurangan akses untuk mencari hiburan kerana segalanya sudah tersedia dalam gajet dan media sosial mereka. 

Universiti sepatutnya tidak perlu bersaing menjadi penyedia hiburan, sebaliknya kekal fokus menyediakan ilmu, membina pemikiran, dan membentuk jati diri mahasiswa. 

Menutup perkongsiannya, beliau menyeru agar institusi ilmu menilai semula program sebegini dan meletakkan sempadan maruah yang sewajarnya. 

Biarlah universiti kekal menjadi tempat yang selamat, kerana anak-anak yang dihantar itu bukan sekadar pelajar baharu, tetapi"Mereka amanah ibu bapa. 

Dan lebih besar daripada itu… Mereka adalah amanah ALLAH SWT."