PENGALAMAN menjadi antara yang terawal memiliki sesuatu yang baharu pastinya melesitkan rasa teruja, namun lain pula ceritanya bagi usahawan terkenal, Datin Rita Sosilawati.
Baru-baru ini, isteri kesayangan Datuk Kamarulzaman Mohammad Hanafiah berdepan detik melucukan apabila ditahan seketika di kaunter imigresen London gara-gara pasport baharu Malaysia yang digunakannya belum pernah dilihat oleh pegawai di sana.
Menceritakan semula detik berkenaan menerusi Threads, pemilik nama sebenar Erni Dekritawati Yuliana Buhari ini mengakui kecanggihan pasport berkenaan membuatkan pihak berkuasa di sana agak teliti sebelum membenarkannya melepasi semakan.
Menurut Rita, pegawai imigresen itu terpaksa membuat semakan lanjut kerana reka bentuk tersebut masih asing dalam sistem mereka.
"Bila terlalu awal dapat pasport baharu Malaysia, sampai saja di London terus kena tahan sekejap untuk pemeriksaan.
"Saya beritahu mereka, 'Pasport ini baru sahaja dilancarkan. Saya mendapatkannya pada hari ketiga selepas ia diperkenalkan.'
'Pegawai imigresen kemudian berkata mereka perlu membuat semakan terlebih dahulu kerana ini kali pertama mereka melihat pasport baharu Malaysia," kongsinya.
Pada masa sama, pihak sana turut memuji reka bentuknya yang moden serta gambar pemegang pasport yang kini dipaparkan dalam warna.
"Saya hanya tersenyum dan berkata, 'Ya, saya juga sukakannya.' Memang rasa bangga jadi rakyat Malaysia.
"Prosesnya memang mengambil masa sedikit sebab mereka belum pernah nampak pasport baharu Malaysia dalam sistem mereka, tapi seronok juga dapat jadi antara orang terawal menggunakannya di sini," kongsinya ceria.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian usahawan ini ternyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Mengimbau memori lama
Rata-ratanya tidak melepaskan peluang berkongsi pengalaman serupa yang melucukan sekali gus membanggakan apabila mengembara ke luar negara dengan dokumen perjalanan baharu itu.
Seorang netizen sempat mengimbau memori lama mengenai evolusi reka bentuk pasport negara yang kini kembali berwarna.
"Oh pasport baru ini gambarnya ada warna ya? Sebenarnya dulu-dulu gambar pasport kita memang berwarna, sekitar tahun 90-an. Lepas itu, masa lepas tahun 2012 buat pasport tiba-tiba tiada warna pula. Pelik juga," tulisnya.
Bukan sahaja di London, malah kehebatan sistem keselamatan dan estetika pasport Malaysia turut mendapat pujian melambung daripada pegawai sempadan di negara-negara lain termasuk di Australia dan Perancis.
Ramai yang mengakui hati berbunga-bunga apabila pegawai asing kagum dengan teknologi yang kita miliki.
"Dulu kena tahan dekat Perth sebab pasport baru. Pegawai-pegawai berkumpul sambil teruja. Komen pegawai, 'Kamu rakyat Malaysia sangat maju!' Kawalan sempadan dekat Paris pula sempat tahan saya seminit semata-mata mahu tunjuk pasport saya kepada rakan sekerja dia sambil kata 'ini sangat canggih', yang membuatkan saya rasa sangat bangga sebagai rakyat Malaysia," kongsi beberapa netizen.
Pengalaman yang sama turut dirasai oleh pengembara lain yang menjejakkan kaki ke Marrakech dan negara jiran seperti Thailand serta Singapura.
Ada yang menceritakan bagaimana pegawai imigresen di Marrakech terpegun melihat ciri keselamatan tersembunyi yang hanya kelihatan di bawah lampu ultraviolet (UV) lalu menyifatkan pasport Malaysia sebagai antara yang paling cantik pernah dilihat.
"Semalam pergi Hatyai, pegawai mereka pun cakap 'pasport baru?'. Hari ini pergi Singapura pun mereka cakap benda sama. Dekat Singapura lama juga kena tahan, rupanya sebab mahu puji pasport baru lawa.
"Memang cantik sangat, ada corak rama-rama, kertas-kertas di bahagian belakang pun cantik dengan ikon Malaysia, warna birunya pun menarik.
Kagum betul tengok selepas perbaharui hari itu, yang penting gambar sudah tidak kusam. Lagipun kedudukan ranking pasport kita dalam kelompok lima terbaik dunia, lepas itu makin canggih dan moden. Siapalah yang tidak bangga jadi rakyat Malaysia," ulas warga netizen lagi.