BEKAS pelakon dan pengacara popular, Wardina Safiyyah meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga selepas anak kedua, Azra selamat bergelar isteri.
Wardina yang bertugas sebagai ahli psikologi bertauliah kini menetap di Brisbane, Australia, berkongsi berita gembira tersebut menerusi satu hantaran menyentuh hati di laman Instagram miliknya.
Pemegang watak Misha dalam siri komedi Spanar Jaya itu memaklumkan majlis akad nikah anak perempuannya itu dengan lelaki pilihan hati yang dikenali sebagai Ali telah berlangsung dengan selamat pada Sabtu.
"Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH. Azra yang cantik, anak perempuan kedua kami yang amat berharga. Dengan keberkatan daripada-NYA, Azra selesai menyempurnakan akad nikah pada 11 Julai lepas bersama Ali, yang kini bergelar anak (menantu) lelaki saya.
"Alhamdulillah bertambah lagi seorang anak lelaki dalam keluarga kami yang semakin membesar. Saya sangat menyayangi mereka berdua," coretnya.
Sebagai seorang ibu, Wardina turut menitipkan pesanan berharga buat pasangan pengantin baharu ini dalam melayari bahtera rumah tangga. Dia mendoakan agar perkahwinan yang dibina dilimpahi barakah serta rezeki yang luas.
"Bekerja keraslah, jalani kehidupan dengan penuh kesabaran, jangan mudah berputus asa terhadap diri sendiri, sesama pasangan dan juga impian kamu. Kamu berdua memiliki hati yang baik hati dan bijak.
"Semoga perkahwinan ini membawa limpahan rezeki daripada ALLAH, kerana perkahwinan adalah sumber barakah dan pelengkap separuh daripada agama. Kini masanya untuk fokus pada masa depan bersama," kongsinya.
Pemilik nama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot itu juga sempat menitip nasihat buat anak menantu dalam melayari kehidupan selepas berumah tangga.
"Seperti yang pernah mama katakan sebelum ini, semoga kamu berdua terus menjadi sahabat baik dan mengharungi segala cabaran serta liku-liku kehidupan ini bersama-sama sebaik yang mungkin.
Artikel berkaitan:|
- Wardina Safiyyah syukur terima menantu, anak sulung Amna Nafeesa kini bergelar isteri
- 'Beautiful like mama.' Wardina Safiyyah terharu resepsi anak meriah macam reunion, keluarga dari Acheh & Australia berkumpul
- 'Jangan ganggu emosi, kesihatan mental dengan komen...' Isu rumah tangga Zahnita & suami, Wardina Safiyyah tegur jangan libatkan anak-anak
"Alangkah indahnya apabila mempunyai seorang sahabat yang boleh dipercayai di sisi untuk sentiasa mendorong kita menjadi insan yang lebih baik. Bekerjalah bersungguh-sungguh, berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, dan jalanilah kehidupan ini dengan sentiasa mencari keredaan ALLAH. Sentiasalah berbuat baik, bermurah hati, dan rajin memberi kepada orang lain," titipnya.
Di akhir perkongsian, bekas personaliti televisyen itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dan pengikutnya yang tidak putus-putus menitipkan doa yang baik buat keluarganya.
"Semoga ALLAH mengurniakan kita semua peluang untuk merasai kemanisan sebuah keluarga yang bahagia dan sentiasa melindungi kita semua. Terima kasih atas doa-doa anda semua," kongsinya.
Untuk rekod, Wardina mendirikan rumah tangga dengan arkitek, Ikhwan Johari pada tahun 2002.
Mereka yang dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Amna Nafeesa , Azra Sareera dan Imran Arrazi berhijrah ke Australia pada 2014 selepas bekas pelakon itu menyambung pelajarannya di sana.
Wardina yang merupakan peserta pertandingan Dewi Remaja 1997/98 aktif dalam bidang modeling dan pengacaraan, malah pernah membintangi beberapa buah filem.
Sumber: Instagram