ADA perjalanan yang tidak hanya menguji kekuatan seseorang, tetapi turut mengajar erti sabar, keteguhan hati dan pentingnya memiliki prinsip.
Selepas lebih enam tahun melalui proses perundangan, pemilik nama sebenar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya menerima keputusan yang membawa kelegaan besar buat dirinya dan insan tersayang yang sentiasa berdiri di belakangnya.
Namun, bagi Ahli Parlimen Muar itu, momen tersebut bukan sekadar tentang kemenangan peribadi atau kebebasan yang dinantikan, sebaliknya menjadi titik renungan tentang nilai sebuah perjuangan.
“Pembebasan saya kekal. Tetapi hari ini bukan sekadar tentang kebebasan saya. Ini tentang satu prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan, walaupun harga yang perlu dibayar sangat mahal,” katanya berkongsi luahan menerusi media sosial miliknya.
Mengimbas kembali tempoh yang panjang itu, Syed Saddiq berkata beliau memilih untuk terus berdepan dengan setiap cabaran tanpa melarikan diri atau meminta layanan istimewa.
Baginya, setiap ujian hadir bersama pilihan sama ada untuk mengalah atau terus mempertahankan perkara yang dipercayai.
“Saya tidak lari. Saya tidak menangguh. Saya tidak minta layanan istimewa,” ujarnya.
Menurutnya, seorang pemimpin perlu mempunyai keberanian untuk mempertahankan prinsip, walaupun terpaksa melalui jalan yang sukar.
“Saya boleh memilih jalan yang lebih mudah. Saya boleh berdiam diri. Saya boleh tunduk. Tetapi kalau kita sendiri menyerah ketika diuji, bagaimana kita mahu meminta rakyat terus percaya kepada negara ini?” katanya.
Baginya, perjuangan yang dilalui bukan didorong rasa marah atau kebencian terhadap mana-mana pihak, sebaliknya kerana rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap Malaysia.
Katanya lagi, perjalanan itu hampir meragut banyak perkara dalam hidupnya termasuk masa, nama baik dan masa depan, namun tidak pernah memadamkan keyakinannya terhadap negara ini.
Di sebalik kekuatan yang ditunjukkan kepada umum, Syed Saddiq mengakui terdapat insan terdekat yang turut menanggung segala tekanan bersamanya, terutama keluarga.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibunya, bapanya, keluarga, tunang, pasukan guaman, sahabat serta rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan serta doa.
“Terima kasih kepada Mama dan Abuyah, yang menanggung kesakitan ini bersama saya dalam diam.
"Kepada keluarga, tunang saya, pasukan guaman, sahabat-sahabat, rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti mendoakan saya, terima kasih,” katanya.
Bagi jejaka itu lagi, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan hanyalah sementara, tetapi prinsip, maruah serta khidmat kepada masyarakat adalah perkara yang akan kekal menjadi legasi.
Pada masa sama, anak bongsu daripada empat beradik itu juga memilih untuk melihat keputusan itu sebagai satu tanggungjawab baharu, bukannya ruang untuk membalas segala yang berlaku sebelum ini.
“Hari ini bukan hari untuk membalas dendam. Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.
Kini, bekas graduan bidang Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tersebut mahu kembali memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat kerana baginya perjuangan tersebut bukan hanya berkaitan dirinya sendiri.
Sebaliknya, ia adalah tentang harapan dan masa depan Malaysia yang ingin terus diperjuangkan.
“It has always been Malaysia first. Dulu, sekarang dan selamanya,” katanya.