16 tahun jaga anak istimewa, Ainina Ahmad B dedah sebab tidak berkahwin semula, kongsi detik terakhir bersama Elisya – 'Dia amanah ALLAH'

Iklan

BUKAN semua ibu diberi peluang menjaga anak sehingga ke hembusan nafas terakhir. Namun buat pelakon Ainina Ahmad B, 16 tahun membesarkan Allahyarham Nur Ara Elisya menjadi perjalanan hidup yang mengubah seluruh keutamaan dirinya.

Walaupun kehilangan anak syurga itu masih meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi, Ainina memilih untuk melihat setiap kenangan bersama arwah sebagai hadiah terindah daripada ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

Selepas melalui tempoh duka yang panjang, beliau kini perlahan-lahan kembali meneruskan kehidupan dan kerjaya yang pernah diketepikan demi amanah sebagai seorang ibu.

Iklan

Allahyarham Nur Ara Elisya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM pada 22 Jun tahun lalu, hanya lima hari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-16.

Sejak kecil, Nur Ara Elisya yang menghidap Sindrom Prader-Willi selain berdepan masalah tulang belakang berbentuk S, memerlukan perhatian dan penjagaan rapi daripada keluarga.

Iklan

Buat Ainina, perjalanan menjaga anak istimewanya itu bukan satu beban, sebaliknya sebuah amanah yang cukup bermakna dalam hidupnya.

Dalam temu bual eksklusif bersama SinarPlus, Ainina mengakui selepas pemergian arwah, dia mengambil masa untuk kembali mencari kekuatan kerana hampir seluruh hidupnya selama 16 tahun tertumpu kepada Nur Ara Elisya.

"Alhamdulillah, tahun 2026 ini adalah permulaan untuk saya kembali. Sebelum ini saya berhenti agak lama kerana fokus kepada anak istimewa saya.

"Dari Ramadan hari itu sampailah sekarang, saya cuba perlahan-lahan untuk kembali," katanya.

Menurut Ainina, keputusan dalam kehidupannya selama ini banyak dipengaruhi oleh tanggungjawab menjaga anak kesayangannya.

Malah, dia memilih untuk tidak berkahwin semula kerana mahu memastikan anak perempuannya sentiasa berada dalam lingkungan yang selamat dan penuh kasih sayang.

"Saya mahu lindungi dia daripada kehadiran orang baharu," ujarnya.

Kini selepas kehilangan tersebut, Ainina mengakui rindu terhadap arwah sentiasa hadir.

Baginya, hubungan yang terjalin selama 16 tahun itu bukan sekadar hubungan ibu dan anak, tetapi seperti sahabat yang sentiasa menemaninya.

"Dia sentiasa ada dengan saya. Jadi bila dia tiada, memang perubahan itu sangat besar," katanya.

Walaupun pernah memperlahankan kerjaya seni, Ainina tidak pernah berasa terkilan. Sebaliknya, dia bersyukur kerana diberi kesempatan menjaga anak syurganya itu sehingga ke akhir hayat.

"Saya tak terkilan walaupun saya tinggalkan lakonan buat sementara waktu.

"Saya bersyukur sebab ALLAH beri saya rezeki untuk menjaga dia sampai akhir hayat. Itu satu nikmat yang besar untuk saya," katanya.

Bagi Ainina, menjaga anak istimewa bukan sekadar tanggungjawab, tetapi satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kasih sayang.

"Saya jaga dia sebab dia amanah ALLAH kepada saya. Anak saya, saya mahu jaga dengan tangan sendiri," jelasnya.

Walaupun sepanjang membesarkan cahaya matanya itu ada pembantu rumah, namun tugas menjaga keperluan anaknya itu tetap menjadi tanggungjawab utama buat dirinya.

Berkongsi mengenai punca keadaan kesihatan arwah, Ainina berkata, tiada sejarah sama dalam keluarganya.

Namun begitu, dia tidak pernah melihat perkara itu sebagai persoalan untuk dicari puncanya, sebaliknya menerima ia sebagai ketentuan ALLAH SWT.

"Bagi saya, itu rezeki yang ALLAH bagi kepada kita. Kita tak perlu fikir sebelah ayah atau sebelah ibu. Itu memang amanah dan tanggungjawab kita. ALLAH tidak beri sesuatu tanpa sebab," katanya.

Mengimbau kembali detik terakhir bersama anaknya, Ainina berkata satu perkara yang paling melekat dalam ingatan ialah doa yang dipanjatkannya pada malam terakhir sebelum pemergian Nur Ara Elisya.

Katanya, sepanjang hayat arwah, dia sering berdoa agar anaknya diberikan kesembuhan dan kesihatan. Namun pada malam tersebut, doanya berubah.

"Malam terakhir itu saya buat solat tahajud. Saya tidak pernah doa untuk dia pergi. Saya selalu doa supaya dia cepat sembuh, cepat sihat.

"Itu momen terakhir saya dengan dia," kongsinya sebak.

Bercerita mengenai kekuatan untuk meneruskan kehidupan, Ainina mengakui bukan mudah untuk menerima kehilangan insan yang selama ini menjadi peneman utama.

"Sejujurnya susah sangat untuk kuat. Dia peneman saya sejak saya bercerai. Saya besarkan dia dari kecil sampai umur 16 tahun. Memang dia sentiasa di sebelah saya," katanya.

Dalam masa sama, Ainina turut melahirkan penghargaan terhadap bekas suaminya, Rahmat, yang sentiasa memainkan peranan sebagai seorang bapa walaupun mereka tidak lagi bersama.

Katanya, hubungan baik antara mereka diteruskan demi memastikan anak-anak tidak merasakan kehilangan kasih sayang seorang ayah.

"Saya sangat berterima kasih sebab Rahmat sangat bertanggungjawab kepada anak-anak, terutama kepada anak yang istimewa," katanya.

Kini, Ainina memilih untuk terus melangkah dengan membawa segala kenangan bersama Nur Ara Elisya sebagai sumber kekuatan.

Baginya, kasih seorang ibu tidak pernah berakhir, walaupun insan yang disayangi sudah kembali kepada Sang Pencipta.

Setiap doa dan kenangan bersama anak syurganya akan terus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.