DALAM dunia fesyen, perhatian sering diberikan kepada potongan busana, pemilihan warna dan rekaan yang dipersembahkan di pentas peragaan. Namun, ada satu elemen kecil yang sering menjadi penentu kepada keseluruhan gaya iaitu rambut.
Daripada gaya minimalis hingga penampilan yang lebih berani, susunan rambut mampu menghidupkan karakter sesuatu koleksi serta membantu menyampaikan inspirasi yang ingin diketengahkan oleh seseorang pereka.
Melihat kepada kepentingan elemen tersebut, Panasonic Beauty tampil sebagai Official Backstage Hair Tools Partner untuk Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), menghubungkan dunia fesyen, kecantikan dan inovasi teknologi Jepun dalam menghasilkan gaya rambut yang melengkapi persembahan para pereka tempatan.
Kerjasama itu hadir seiring dengan perkembangan industri fesyen Malaysia yang semakin kreatif, apabila KLFW terus menjadi platform penting dalam mengetengahkan karya pereka tempatan serta menghimpunkan komuniti kreatif dalam bidang fesyen dan gaya hidup.
Bagi Panasonic Malaysia, kolaborasi berkenaan bukan sekadar berkaitan menghasilkan gaya rambut di pentas peragaan, tetapi turut meraikan hubungan antara kecantikan, keyakinan diri dan cara seseorang mengekspresikan personaliti.
Menurut Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida, rambut yang sihat memainkan peranan penting dalam membantu seseorang tampil lebih yakin.
“Di Panasonic Beauty, kami percaya keyakinan diri bermula apabila seseorang berasa selesa dengan dirinya sendiri. Rambut yang sihat adalah sebahagian daripada perjalanan itu.
“Kerjasama bersama KLFW meraikan hubungan antara fesyen, kecantikan dan ekspresi diri. Kami berharap dapat menyokong kreativiti penggaya rambut serta pereka dalam menghasilkan penampilan yang bukan sahaja menarik, tetapi turut memberi perhatian kepada penjagaan rambut,” katanya.
Sepanjang KLFW berlangsung, pasukan penggaya rambut di belakang pentas akan menggunakan peralatan profesional bagi menghasilkan pelbagai gaya yang bersesuaian dengan konsep dan tema setiap koleksi yang dipersembahkan.