'Dulu bertatang, ditimang & cukur jambul' — Ibarat Messi & Lamine Yamal, Shiera imbas Odda anak angkat Siti Nurhaliza, titip pesanan berharga

Iklan

HATI seorang ibu sememangnya mudah tersentuh, lebih-lebih lagi apabila menyaksikan detik penting dalam lipatan sejarah hidup anak kandung sendiri. Begitulah perasaan yang menyelubungi pelakon dan penyampai radio popular, Sharifah Shahirah, yang tidak mampu menahan air mata tatkala menghadiri majlis pelancaran single sulung anak ketiganya, Odda baru-baru ini.

Ketika ditemui pihak SinarPlus, penyampai radio Suria FM yang mesra disapa Shiera ini mengakui jiwanya cukup terusik apabila melihat Odda, atau nama lengkapnya Auddra, kini rasmi bernaung di bawah syarikat rakaman milik ibu angkatnya sendiri, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Iklan
Iklan

Melihat langkah sulung puterinya itu, fikiran Shiera menerawang imbas kenangan indah zaman kanak-kanak Odda bersama penyanyi nombor satu negara itu. 

Uniknya, bagi Shiera, ikatan nostalgia antara Odda dan Siti Nurhaliza seakan-akan mempunyai bait persamaan dengan kisah luar biasa bintang bola sepak antarabangsa, Lamine Yamal dan Lionel Messi.

Iklan

"Bangga dan juga tak sangka... Eh, sebenarnya kan macam rasa ada satu bukan falsafah. Macam nampak satu macam... Ha, tengok Messi mandikan Lamine Yamal dalam bathtub tu. Dalam bathtub. Saya ingat gambar AI. Rupa-rupanya gambar betul, eh? So, bila Siti pegang Odda, saya ingat Odda ni macam biasa-biasa je. Tapi bukan biasa-biasa bila Siti pegang.

Iklan

"So, tengok gambar Messi tu teringatlah. Teringat,"Eh, Odda pun bertatang, bertimang dan cukur jambul dengan Siti. Hari jadinya Siti datang. Odda ni biasa-biasa, tapi macam tak biasa jugak. Tak biasa...

"Jadi saya syorkan kat anak-anak siapa yang ada... Pak Imam ke, siapa ke yang awak punya idola,suruh dia pegang dan belai," katanya berseloroh mengusik suasana.

Disebalik hilai tawa dan gurauan mesra, raut wajah Shiera jelas memancarkan kebanggaan seorang ibu. Selaku pengurus yang berdiri teguh di belakang kerjaya Odda, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila anak yang dibesarkannya kini melangkah berani ke pentas seni yang dicintai kecil lagi.

"Hati ini tercuit apabila mendengar bait doa yang tersusun cantik dan a[abila nama Odda disebut.

"Saya terharu sebab Siti ambilnya sebagai artis rakaman. Tapi ini juga atas usaha Odda jugalah. Dia suka seni sejak kecil.

"Saya harap dia menggunakan peluang yang ada sebaiknya. Susah nak cari rezeki. Kalau betul nak buat, fokus dan do whatever it takes seperti Siti. Itu yang saya mahu," selitnya lagi dengan penuh harapan.

Menyedari realiti dan cabaran dunia hari ini, isteri kepada pelakon Ijoy Azhari ini menitipkan doa agar Odda yang kini berusia 17 tahun bukan sahaja diterima baik serta dikenali oleh segenap lapisan masyarakat, malah mampu menjaga keperibadian diri.

"Kami doakan untuk dia kuat semangat. Dunia hari ini semakin menakutkan terutama dengan kata-kata yang hendak menjatuhkan.

"Saya kata kepada Odda jika ada orang perlekehkan, ambil kata-kata itu untuk buatkan kita jadi kuat dan buktikan you the best. You can express yourself, but kena ada limit. Tak payah tunjuk semua kepada orang," luahnya penuh azimat buat sang anak.

Aktor Ijoy Azhari yang ditemui dalam majlis pelancaran di Ideas Kuala Lumpur baru-baru ini juga tidak ketinggalan berkongsi rasa. Sebagai seorang penggiat seni berpengalaman, dia menitip pesanan bermakna buat puteri kesayangannya itu sebagai bekal mengharungi liku-liku dunia hiburan.

"Moga Odda sentiasa mengikut perkembangan dan jaga diri. Dunia ini bukan senang, banyak cabaran yang Odda kena lalui," tuturnya ringkas.

Sekadar makluman, Odda yang sebelum ini pernah menempa nama apabila merangkul tempat ketiga dalam program pertandingan Talk To My Manager Musim Pertama, kini rasmi meluncurkan single solo sulungnya bertajuk Gelanggang Rasa di bawah syarikat SN Legacy.

Shiera dan Ijoy Azahari, mempunyai empat cahaya mata iaitu Airell, Airra, Audrra, dan Adeena. Shiera juga memiliki anak perempuan bernama Allisya hasil perkahwinannya bersama Jatt Ali.