USAHA pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan terus menjadi keutamaan dalam memperkukuh daya saing negara berteraskan inovasi. Walaupun Malaysia mempunyai kekuatan dari segi penyelidikan, bakat saintifik dan kekayaan biodiversiti, kejayaan sesuatu penyelidikan hanya benar-benar dapat diterjemahkan apabila hasilnya berjaya dikomersialkan serta memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Selaras dengan aspirasi tersebut, Nusanutra memperkenalkan Persada Cipta 2026, sebuah platform yang menghimpunkan institusi penyelidikan, universiti, pemain industri, usahawan dan rakan strategik bagi mempercepatkan pembangunan inovasi berasaskan khazanah biodiversiti Nusantara sehingga ke peringkat pengkomersialan dan pasaran.
Persada Cipta 2026 menyaksikan pelancaran rasmi jenama Nusanutra dan dua inovasi baharu, Dybesol dan Phytoglutide sambil mengetengahkan lima produk pemenang Anugerah Emas ITEX hasil kerjasama strategik bersama MARDI, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Teknologi MARA.
Bertemakan Memperkasa Warisan, Menerajui Inovasi, Persada Cipta bukan sekadar sebuah majlis pelancaran, malah merupakan wadah yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan industri bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam mempercepatkan pemindahan teknologi serta pembangunan produk bernilai tinggi.
Platform ini turut menyaksikan pelancaran rasmi jenama Nusanutra, yang membawa aspirasi untuk menjadi peneraju dalam pembangunan dan pengkomersialan produk kesihatan berasaskan penyelidikan saintifik serta khazanah biodiversiti Nusantara.
Sebagai kemuncak Persada Cipta 2026, lima inovasi pemenang Anugerah Emas International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) bagi tempoh 2023 hingga 2026 diketengahkan kepada umum, iaitu Terungold, Femiluv, Vegejelly, Dybesol dan Phytoglutide.
Daripada lima inovasi tersebut, Dybesol dan Phytoglutide dilancarkan secara rasmi buat pertama kali sebagai inovasi terbaharu dalam portfolio produk Nusanutra, sekali gus membuktikan potensi hasil penyelidikan tempatan untuk diterjemahkan kepada produk yang mempunyai nilai komersial dan memberi manfaat kepada pengguna.
Kelima-lima inovasi tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara Nusanutra dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Kerjasama ini membuktikan bahawa sinergi antara institusi penyelidikan dan sektor industri mampu mempercepatkan pembangunan teknologi, meningkatkan nilai tambah hasil penyelidikan serta membuka lebih banyak peluang pengkomersialan inovasi tempatan.
Bertempat di Hotel De Palma Shah Alam, Persada Cipta 2026 menghimpunkan penyelidik, saintis, wakil kementerian dan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pemain industri, usahawan, pelabur serta pemegang taruh utama dalam usaha memperkukuh ekosistem inovasi negara dan memperluaskan jaringan kerjasama antara penyelidikan dan industri.
Pengarah Urusan Nusanutra, Ahmad Zahin Ilman bin Othman berkata, Malaysia mempunyai semua elemen yang diperlukan untuk menjadi peneraju inovasi berasaskan biodiversiti, namun usaha meningkatkan mutu pengkomersialan hasil penyelidikan perlu diperkasakan secara berterusan.
"Malaysia mempunyai ramai penyelidik bertaraf dunia serta kekayaan biodiversiti yang luar biasa. Cabaran utama bukan lagi menghasilkan penyelidikan semata-mata, tetapi memastikan lebih banyak hasil penyelidikan berjaya diterjemahkan kepada produk yang memberi manfaat kepada rakyat, membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan daya saing negara. Di situlah Nusanutra mahu memainkan peranannya," katanya.
Jelasnya, Persada Cipta diwujudkan sebagai platform yang mempertemukan penyelidik, institusi penyelidikan dan pemain industri supaya sesuatu inovasi tidak terhenti di makmal, sebaliknya mampu berkembang menjadi produk yang memberi impak kepada masyarakat.
"Warisan memberi inspirasi. Sains memberi keyakinan. Inovasi membawa perubahan. Namun pengkomersialan memastikan manfaat penyelidikan benar-benar sampai kepada masyarakat.
"Persada Cipta diwujudkan bagi menghubungkan keseluruhan rantaian tersebut supaya lebih banyak inovasi tempatan berjaya menembusi pasara," katanya lagi.
Nusanutra menyasarkan untuk memperluas kerjasama strategik bersama lebih banyak universiti dan institusi penyelidikan, memperkenalkan beberapa lagi inovasi yang kini berada dalam fasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan meneroka peluang eksport ke pasaran Asia dan Eropah.
Majlis yang berlangsung di De Palma Shah Alam, tersebut diserikan dengan kehadiran Presiden Annems Group of Companies, Datuk Dr Faridah Hanim Haron dan Naib Presiden Kanan, Bahagian Sokongan Industri BioEconomy Corporation, Nora Mohamed.
Melalui Persada Cipta, Nusanutra berhasrat menjadi pemudah cara yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan industri agar lebih banyak hasil penyelidikan tempatan dapat diterjemahkan kepada produk bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat, memperkukuh daya saing industri negara serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang dipacu inovasi.
Nusanutra turut memperkenalkan laman web rasminya nusanutra.com sebagai platform digital utama bagi memudahkan orang ramai, rakan industri, penyelidik dan pemegang taruh mendapatkan maklumat berkaitan produk, inovasi, kerjasama strategik serta perkembangan terkini jenama tersebut.