RAJA Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz selamat menyambut keputeraan anakanda puteri pada 2.56 petang, Sabtu.
Memetik hantaran laman sosial, Raja Muda Selangor bertitah menitip kesyukuran atas kelahiran puterinya.
"Alhamdulillah. Dengan penuh rasa syukur ke hadrat ALLAH SWT, beta mengumumkan kelahiran puteri kami.
"Semoga membesar dalam rahmat, kasih sayang dan lindungan ALLAH SWT," titahnya.
Dalam pada itu, baginda dengan limpah perkenan memohon rakyat jelata mendoakan kesejahteraan anakanda tercinta.
"Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesihatan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan buat anakanda kami.
"Terima kasih buat semua yang mendoakan kami sekeluarga," titahnya lagi.
Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini terdahulu diijabkabulkan pada 2 Oktober 2025.