AKTRES Wan Sharmila antara selebriti yang bergiat aktif sebagai memikul peranan baharu sebagai pembimbing jemaah umrah atau mutawif.
Baru-baru ini, pemilik nama Wan Sharmila Wan Muhamed, 45, itu mendedahkan punca sebenar yang 'menariknya' kepada bidang berkenaan.
Mengakui mempunyai jurang yang besar antara dua bidang berbeza, pelakon ini sebenarnya bermula dari titik kosong tanpa sebarang latar belakang dalam pengurusan ibadah tersebut.
Menurut Wan Sharmila, penglibatannya dalam industri haji dan umrah berlaku tanpa dirancang ketika dia mula mendedah rasa mahu mengurangkan lakonan.
"Macam mana saya boleh bermula belajar dalam bidang ni, sebenarnya saya pun tak sangka.
"Saya zero dan jawapan yang paling tepat yang saya boleh kongsi ialah ni semua pengaruh rakan sebaya.
"ALLAH temukan saya dengan seorang kawan iaitu seorang hamba ALLAH ini. Ketika itu saya pun sebenarnya tercari-cari satu 'benda' baharu sebab saya sudah mula kurangkan berlakon.
"Jadi saya fikir saya perlu cari satu pekerjaan atau aktiviti lain yang boleh mengisi masa dan dalam masa yang sama menjadi pendapatan," kongsinya.
Ujar pelakon Kisah Kaisara, ketika itu dia berada di Brunei yang menjadi titik tolak perjalanan baharunya itu apabila dipertemukan dengan rakan yang juga alumni Sijil Profesional Haji dan Umrah (SPHU).
"Hamba ALLAH rakan saya ini orang Brunei dan juga merupakan alumni SPHU. Dialah punca saya belajar. Walaupun saya rasa zero ketika itu," titipnya.
Mengakui awalnya tidak menyangka adanya bidang khas untuk pengurusan jemaah haji dan umrah, Wan Sharmila turut bersikap skeptikal dan berasa ragu-ragu sewaktu mula-mula diperkenalkan dengan kursus pengajian berkenaan.
"Pada ketika itu saya berasa ragu-ragu dan tertanya-tanya sama ada saya layak untuk menyertainya, memandangkan latar belakang saya amat berbeza serta tidak pernah terdedah dengan industri baharu ini," kongsinya.
Namun, pengaruh persekitaran yang positif akhirnya membuka mata pelakon berkenaan.
"Apabila saya berkawan dengan orang cirlce yang baik ni, saya nampak dia selalu bantu orang, selalu tolong orang. Saya tanya dia, kenapa nak join, nak belajar ni? Dia jawab simple, dia cakap sebab 'Saya nak menyantuni jemaah, saya nak menyantuni tetamu ALLAH"
"Jadi itu buatkan satu inspirasi bagi saya. Masya-ALLAH, kenapa aku tak fikir benda tu? Sebabnya nak tolong orang ni, nak menyantuni jemaah semua ni bukan mudah.
"Contoh terdekat, saya lihat diri saya sendiri. Saya pernah pergi umrah, nampak mak cik tu tak dapat duduk... kenapa kita boleh tengok sahaja? Padahal kita boleh kejar dan katakan, 'Nah mak cik, kerusi, duduk,'" kongsinya.
Wan Sharmila yang memulakan kerjaya lakonan sejak 2005 terdahulu berkongsi penglibatannya sebagai mutawwif pada Januari lalu.
Pelakon drama Emil Emilda, Tari Tirana, Tipah Vavavoom, Debunga Lalang, Kusinero Cinta dan 7 Hari Mencintaiku itu pernah pernah memenangi Anugerah Shine Pantene pada Anugerah Skrin 2008.
Sumber: Facebook